Warisan, PH musuh utama GRS: Hajiji

Warisan, PH musuh utama GRS: Hajiji

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Noor, Ketua Menteri Sabah.

KOTA KINABALU: Parti Warisan dan Pakatan Harapan adalah ‘musuh utama’ Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasioinal (BN) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November depan.

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, dua gagasan parti itu akan sama-sama menentang parti pembangkang.

Senarai akhir calon GRS hampir siap dan akan diumumkan sebelum Hari Penamaan calon PRU15 pada 5 November depan.

Menurut Utusan Malaysia, Hajiji dilaporkan sebagai berkata bahawa calon-calon GRS sudah disenarai pendek dan hampir sampai ke peringkat akhir saringan.

“Kita sudah sampai ke senarai akhir untuk mengetengahkan calon-calon yang boleh menang dan diterima rakyat.

“Kita mahu calon yang boleh memberi khidmat kepada rakyat apabila mereka menang dalam pilihan raya nanti,” katanya ketika ditanya mengenai senarai calon GRS menjelang PRU15.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Yayasan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Khamis.

Ketua Menteri itu berkata, GRS dan Barisan Nasional tidak akan bertembung sesama sendiri pada pilihan raya kali ini.

“Kita sudah buat persefahaman bahawa kita tidak akan bertanding antara satu sama lain.
Persefahaman kita ialah apabila calon GRS bertanding, Barisan Nasional kena sokong dan jika calon Barisan Nasional bertanding, GRS akan sokong. Itu adalah prinsip kerjasama.

“Jadi kita mesti ada satu jajaran atau konsep politik kerana di Sabah ini sudah lama bergaduh-gaduh maka saya harap tidak perlu lagi berlawan. GRS dan Barisan Nasional berada dalam satu blok kerajaan.

“Janganlah pasang calon macam-macam kerana dalam pilihan raya ini musuh utama kita ialah pembangkang iaitu Parti Warisan (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerjasama antara GRS dan Barisan Nasional yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu terus dihormati.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan agihan kerusi antara Barisan Nasional dan GRS adalah 50-50 dan pengumuman calon itu akan dibuat serentak.

Gabungan dalam GRS terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), USNO dan Parti Maju Sabah (SAPP) manakala BN Sabah dianggotai UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

-Tv Sabah News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal