WARISAN Cadang Audit Bebas Selesai Pertikaian Isu Bon RM1 Bilion

KOTA KINABALU: 17 Ogos 2025 – Parti Warisan (WARISAN) menggesa kerajaan negeri menubuhkan audit bebas bagi menyelesaikan polemik berhubung bayaran semula bon berjumlah RM1 bilion yang menjadi pertikaian antara pentadbiran semasa dengan parti itu.

Ketua Bahagian WARISAN Kalabakan, Sarifudin Hata, berkata audit bebas merupakan langkah terbaik bagi menamatkan spekulasi kerana rakyat berhak mengetahui kedudukan sebenar mengenai dana berkenaan.

Isu bayaran balik bon tersebut timbul semula selepas Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mendakwa pentadbiran beliau ketika menjadi Ketua Menteri pada 2018 hingga 2020 berjaya melangsaikan hutang negeri. Dakwaan itu bagaimanapun ditolak oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, yang menegaskan pembayaran bon dibuat hasil pelan kewangan dirangka Barisan Nasional (BN) sejak 2014.

Menurut Masidi, di bawah syarat bon, kerajaan negeri diwajibkan menyalur RM200 juta setiap tahun ke dalam Dana Penampan (Sinking Fund) bermula 2014 hingga 2019. Katanya, ketika WARISAN mengambil alih pentadbiran pada 2018, sebahagian besar dana bagi pembayaran balik telah tersedia.

Namun, Mohd Shafie menjelaskan bahawa hanya RM400 juta berada dalam dana itu pada 2018, sedangkan baki yang perlu disediakan masih berbaki RM600 juta. Beliau menegaskan bahawa WARISAN berjaya meningkatkan dana kepada RM1 bilion dalam tempoh setahun melalui pengurusan kewangan berhemat dan pengagihan semula sumber.

Sarifudin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, mendakwa angka yang disebut Masidi bersifat terpilih dan tidak menggambarkan kedudukan sebenar dana ketika itu.

Beliau turut menuntut kerajaan negeri menjelaskan perincian penggunaan hasil bon berkenaan termasuk senarai projek, lokasi, kontraktor serta penerima manfaat.

Katanya, selagi maklumat itu tidak didedahkan, isu akauntabiliti hanya akan terus menjadi pertikaian.

Beliau juga mencabar kerajaan negeri membahaskan perkara itu secara terbuka dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah agar tidak hanya bergantung kepada kenyataan media.

Sumber: Sabah News Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal