Walk-A-Payung 2025: SLE Sabah Chapter Perkasa Kesedaran Awam Tentang Penyakit Lupus

KOTA KINABALU: 3 Oktober 2025 – Persatuan SLE Sabah Chapter terus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) atau lebih dikenali sebagai Lupus melalui penganjuran Lupus (SLE) Awareness Walk-A-Payung 2025.

Program ini bukan sahaja membuka ruang kepada orang awam untuk mendapatkan maklumat mengenai simptom serta risiko SLE, malah berfungsi sebagai platform membina komuniti dan solidariti antara pesakit, keluarga serta masyarakat.

Pakar Reumatologi Hospital Gleneagles Kota Kinabalu merangkap ahli seumur hidup persatuan, Dr Anna Farazilah Mohd Salleh, menjelaskan bahawa penggunaan payung sepanjang acara merupakan simbol kepada cabaran yang dihadapi pesakit Lupus yang sensitif terhadap sinaran ultraungu (UV). Pendedahan kepada cahaya matahari boleh mencetuskan atau memburukkan gejala seperti ruam, keradangan dan keletihan.

Menurutnya, Walk-A-Payung bukan sekadar aktiviti berjalan kaki, tetapi lambang sokongan moral dan emosi kepada pesakit. Tambahnya lagi, setiap langkah bersama payung adalah tanda bahawa pesakit tidak berjuang sendirian, sebaliknya mendapat sokongan padu daripada komuniti.

SLE merupakan penyakit autoimun kronik yang berlaku apabila sistem imun menyerang sel dan organ tubuh, mengakibatkan keradangan yang boleh menjejaskan kulit, sendi, buah pinggang, otak, jantung, paru-paru serta sel darah. Penyakit ini kebanyakannya dihidapi oleh wanita dalam lingkungan usia subur, manakala lelaki dan kanak-kanak mewakili peratusan kecil.

Acara Walk-A-Payung 2025 dijadualkan berlangsung di SMK Konven St. Cecilia Sandakan pada 19 Oktober depan. Antara pengisian program termasuk walkabout bersama komuniti, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan menghias payung, dan cabutan bertuah.

Sumber: Malaysia Aktif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal