Vivian rayu syarikat penerbangan tidak kenakan tambang mahal
SANDAKAN: Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Vivian Wong merayu kepada semua syarikat penerbangan untuk memperkenalkan penerbangan tambahan dengan harga tetap bagi perjalanan di antara Kuala Lumpur dan Sabah.
Ini katanya, agar lebih ramai rakyat Sabah dan Sarawak melakukan perjalanan balik ke kampung halaman mereka untuk membuang undi pada 19 November depan.
Beliau yang juga penyandang Ahli Parlimen Sandakan mengulas laporan berita menyatakan tambang penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur melambung tinggi hanya beberapa jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pengundian semalam.
“Harga yang mahal itu akan menyukarkan ramai orang Sabah pulang ke kampung masing-masing untuk membuang undi mereka dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” katanya.
Pemantauan pantas menerusi platform tempahan dalam talian syarikat penerbangan menunjukkan harga tambang penerbangan pergi balik di antara Kuala Lumpur dan Sandakan dari 18 November 2022 adalah sekitar RM600 bagi Air Asia dan sehingga RM800 bagi Malaysia Airlines.
“Harga ini jauh lebih tinggi daripada harga biasa. Saya juga menerima banyak panggilan daripada orang awam yang mengeluh mengenai tambang penerbangan yang lebih tinggi daripada biasa,” katanya.
Ramai menyatakan kekecewaan kerana tambang penerbangan itu akan menghalang mereka daripada balik mengundi dan seterusnya memilih kerajaan baharu.
Ketika ini ada lebih 200,000 rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung Malaysia untuk bekerja atau belajar.
Ia akan menjadi tamparan hebat kepada proses demokrasi negara ini jika rakyat Sabah tidak dapat mengundi dalam PRU15 akan datang hanya kerana harga tiket penerbangan yang dikenakan adalah tinggi.
“Walaupun saya percaya SPR perlu memperbaharui peraturan pengundian pos untuk membolehkan pengundi luar daerah untuk mengundi pada masa hadapan, saya merayu kepada semua syarikat penerbangan untuk mempertimbangkan tindakan mereka.
“Saya minta syarikat ini memperkenalkan penerbangan tambahan harga tetap sama seperti penerbangan tetap yang mereka kenakan pada musim perayaan. Ini adalah inisiatif yang diperkenalkan oleh Menteri Pengangkutan ketika itu, Anthony Loke pada tahun 2020, bagi membolehkan lebih ramai rakyat Sabah pulang mengundi,” jelasnya.
-Tv Sabah News
0 Comments