KUDAT: 22 Julai 2025 – Cubaan berani sebuah vesel nelayan asing (VNA) Vietnam meloloskan diri dengan merempuh aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berakhir dengan kegagalan apabila vesel tersebut berjaya dipintas dan ditahan di perairan Kudat, awal pagi Ahad lalu.
Insiden berlaku sekitar jam 4 pagi, kira-kira 1.2 batu nautika tenggara Tanjung Bukit Pulau Malawali, hasil maklumat awam yang disalurkan kepada Maritim Malaysia.
Bertindak atas maklumat tersebut, bot ronda Cenderawasih 10 yang sedang menjalankan rondaan di bawah pelbagai operasi penguatkuasaan termasuk Op Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Cegah PATI, Op Tiris 3.0, dan Op Naga Timur segera digerakkan ke lokasi kejadian.
Ketika didekati, kru vesel bertindak agresif dengan memotong tali tunda, menggantung tali panjang di buritan dan memasang palang besi di sisi vesel untuk menghalang tindakan penahanan. Mereka turut bertindak lebih berani dengan cuba melanggar bot penguat kuasa dalam usaha terakhir untuk meloloskan diri.
Bagaimanapun, selepas hampir 15 minit aksi kejar-mengejar, anggota Maritim berjaya memintas dan menaiki vesel tersebut sebelum menghalang pergerakannya.
Hasil pemeriksaan menemui lima awak-awak warga Vietnam berusia 28 hingga 39 tahun yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.
Pemeriksaan lanjut mendapati lebih 40 kilogram balat yang ditangkap menggunakan peralatan besi khas serta 300 liter diesel yang disyaki untuk kegunaan aktiviti haram turut dirampas.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan hasil laut dianggarkan melebihi RM2 juta. Semua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Jeti Maritim Kudat untuk tindakan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.
Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada komuniti maritim Kudat yang terus menyalurkan maklumat penting dalam usaha membanteras penceroboh dan penjenayah perairan negara.
Sumber: Sabah Dimensi