Velleryn Viviene Hikson: Gadis Desa Aspirasi Komuniti Rungus UNK 2025

Kisah hidupnya, diwarnai dengan cabaran, motivasi diri yang teguh, inspirasi dari generasi terdahulu, serta kegigihan tanpa mengenal erti putus asa, membentuknya menjadi representasi yang layak bagi Daerah Kecil Matunggong.

Matunggong, sebuah daerah kecil yang terkenal dengan budaya seni lokal terutamanya menghasilkan gong iaitu alat muzik tradisional, bersama dengan Kampung Lodung turut bergembira ketika Velleryn Vivienne Hikson dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan pada 10 Mei 2025.

Velleryn atau lebih selesa dipanggil dengan nama singkat, Vell, anak pertama daripada dua beradik, gadis muda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Seni dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di Kuching, dengan nada rendah berkata, “Untuk masa sekarang ini, saya berkecimpung secara penuh masa dalam perniagaan baju perempuan secara online.”

Adakah Velleryn menyangka kemenangan ini, dan jika tidak siapa agaknya yang dijangkanya untuk menang? Inilah antara soalan-soalan menarik yang kita ingin tahu jawapannya.

“Saya merasa amat terharu, sebak dan ‘happy’ sebaik sahaja mendengar keputusan, sebab saya sudah berjuang selama sembilan tahun, akhirnya mendapat kedudukan Unduk Ngadau. Saya rasa usaha saya selama ini terbayar sudah…,” ujarnya dengan penuh perasaan.

“Pertama kali saya sertai Unduk Ngadau ialah semasa umur saya 18 tahun, selepas selesai SPM 2016, di Kudat, Matunggong dan Kota Marudu dalam tahun yang sama, 2016. Kemudian saya kembali menyertai Unduk Ngadau Kudat dan Kota Marudu pada tahun 2018. Saya juga telah menyertai unduk ngadau Matunggong tahun lalu, 2024,” katanya.

Setelah menempuh pengalaman selama tujuh pertandingan peringkat daerah Velleryn berkata, “Meskipun saya sudah berusaha sedaya upaya hingga saat itu, sejujurnya saya tidak menjangkakan kemenangan ini.”

Tertanya-tanya pula, adakah Velleryn menjangka pemenang-pemenang di kalangan mereka?

“Sangkaan saya yang akan menang ialah antara Feyra, yang mendapat tempat kedua, dan Angel, yang mendapat tempat ketiga. Sebab mereka berduapun berpengalaman,” ujar Velleryn dengan semangat.

“Kalau Angel, dia menonjol dari segi penyampaian bahasa ibunda, dan Feyra pula dari persembahannya,” katanya dengan yakin.

Mengenai persiapan Velleryn berkata tumpuan utamanya ialah mental dan kesihatan diri supaya tidak jatuh sakit di musim pertandingan.

“Contohnya, saya fokus dengan diri sendiri, tidak ambil kisah sangat kata-kata orang yang tidak baik, berpegang pada prinsip buang yang keruh ambil yang jernih. Benda buruk atau negatif hanya merosak minda dan keyakinan diri.

“Saya fokus kepada perkara positif sahaja, supaya fokus untuk bertanding dan misi membawa nama Matunggong ke KDCA tidak terganggu,” katanya dengan penuh semangat.

Velleryn merenung seketika dan kelihatan di kaca matanya sedang mengimbas kembali masa lalu. Sambil menarik nafas, katanya “Sangat banyak cabaran sebelum dan selepas bertanding, terutama sekali dari segi perbelanjaan, sangat banyak pergerakkan untuk persiapan.”

Di tengah cabaran Velleryn mendapat kepuasan mendalam, katanya, “Cabaran semasa bertanding ialah saya harus memakai aksesori Rungus yang berat terutama di leher dan kaki, dan ini saya sudah sedia maklum juga. Walaupun aksesori di leher dan kaki sangat berat, saya menyukainya kerana bukan selalu dapat berpakaian yang lengkap seperti ini. Saya memang amat bangga dengan baju tradisi kami.”

Dengan wajah yang riang Velleryn berkata, “Yang paling saya ‘enjoy’ dalam pertandingan ini ialah saya dapat jumpa kawan-kawan baru dan berkongsi berbagai-bagai pengalaman.”

“Yang menjadi inspirasi saya ialah Unduk Ngadau Tati Claryssa Henry Ogodong, sebab saya suka melihat bagaimana dia memperkenalkan bangsa Rungus kepada semua orang,” ujar Velleryn dengan kagum.

Velleryn turut mendapat sokongan padu dari ibu bapa, semua ahli keluarga dan kawan-kawannya.

“Yang sangat mengharukan ialah mereka sanggup berkorban datang dari jauh ke tempat pertandingan, semata-mata mahu menyokong dan bersorak untuk saya,” katanya dengan suara yang sedikit sebak.

Velleryn, gadis kelahiran Matunggong bermatlamat melestarikan warisan budaya dan bahasa Rungus, dan mempromosikan nilai-nilai yang baik untuk wujudkan komuniti yang bekerjasama. Velleryn berhasrat meningkatkan kesedaran generasi muda tentang pentingnya mempelajari adat, budaya dan tradisi sebagai identity sendiri, dan menjadi suara kepada wanita muda untuk tampil lebih yakin dan berani.

“Visi saya ialah menjadi duta budaya dan inspirasi kepada golongan generasi muda untuk mengukuhkan lagi identiti komuniti,” ujar Velleryn.

Setelah merenung jauh seketika, Velleryn berkata, “Saya perlu kenal pasti dan nilai misi peribadi saya. Kedua, melibatkan diri dalam komuniti, seterusnya bekerjasama dengan organisasi belia, dan yang terakhir, saya akan menggunakan media sosial untuk memberi inspirasi dan berkongsi pengalaman,” katanya.

Tambahnya, “Sebelum bertandingpun, saya sudah memikirkannya, dan dalam perancangan saya ialah aktiviti masyarakat yang melibatkan kanak-kanak, warga emas, dan disertai oleh top 3 UNK Matunggong. Antaranya, aktiviti kemesyarakatan seperi memungut sampah dengan harapan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bagi memastikan Matunggong sentiasa bersih. Saya juga sudah lama mahu wujudkan bengkel kesenian dan kebudayaan untuk warga Matunggong, dan yang ketiga, memberi makanan kepada haiwan-haiwan terbiar.”

Velleryn sedar semua aktiviti tersebut memerlukan dana, katanya, “Memang perlu dana dan saya sedang fikirkan, seperti mendapatkan sponsor dan kolaborasi dengan syarikat-syarikat tertentu.”

Ternyata di sebalik wajah yang anggun siapa sangka hobinya menyanyi dan memasak. Velleryn suka mendodoi kuih muihnya ketika sedang diolah dan dimasak, “Hobi saya, saya masak sambil menyanyi. Saya sangat suka memasak benda yang belum pernah saya masak,” katanya.

Sekarang kita tahu, bila suara manis berkumandang di dapur, Velleryn sedang manterakan masakannya, ”Saya baru sahaja belajar masak kek. Saya buat berkali-kali sampai berjaya.”

Velleryn tertawa kecil, “Mula-mula saya buat donut tu keras, tapi kali kedua, lembut sudah. Yang masih mencabar ialah kek Chocolate Moist, sebab tangan saya ni masak lauk kira ok, tapi kalau kek, masih ada masa jadi dan nda jadi,” katanya dalam logat tempatan.

Melihat riak wajahnya yang agak lucu, kita ambil kesempatan bertanya, “Vell, pandai masak kuih cimpiang?”

Velleryn tertawa, “Inda pandai oh kalau itu, nanti keras,” katanya.

Ketika ditanya apa impiannya, Verrelyn berkata, “Impian saya? Saya mau buka bridal. Dari dulu lagi saya mau buka bridal, dan bercita-cita mau jadi bussineswoman yang berjaya.”

Velleryn dengan terbuka berkongsi nasihat, katanya, ”Nasihat saya untuk wanita muda di luar sana, jangan takut untuk membuat sesuatu. Buat saja, walaupun perlu lalui sendiri, sentiasa yakin diri. Jangan selalu cakap negatif kepada diri sendiri sebab itu akan mempengaruhi aura diri sendiri. Kita masing-masing ada kelebihan diri sendiri, fokus dengan diri sendiri. Paling penting, kalau mau ‘join’ Unduk Ngadau, ‘keep humble’ dan ‘set’ dalam diri yang kau ‘join’ Unduk Ngadau untuk mewakili budaya dan tradisi kaum kau sendiri.”

Di sebalik semangat keyakinan, nasihat dan kata-kata dorongan, Velleryn meluahkan isi hatinya, ”Saya mahu ucapkan ribuan terima kasih kepada semua keluarga saya, kawan-kawan saya, AJK UNK Matunggong, kawan-kawan saya sepanjang pertandingan UN Matunggong berlangsung, dan mereka yang saya tidak kenal tetapi menyokong saya. Terima kasih banyak-banyak sebab sokong saya. 

“Dan, saya ada sedikit tambahan untuk bahagian nasihat. Untuk sumandak-sumandak yang mahu sertai Unduk Ngadau, gagal sekali bukan bererti gagal selamanya. Kalau impian mahu sampai di KDCA, teruskan berusaha sehingga dapat belajar dari kesilapan. Sebab saya sendiri mulai mengikuti Unduk Ngadau sejak 2016 lagi, dan sehingga ke hari ini saya belajar dari kesilapan saya.”

Velleryn, seorang gadis desa sederhana yang berpendidikan tinggi, cekal menghadapi cabaran, memotivasi diri sendiri, mendapatkan inspirasi dari yang terdahulu, berusaha gigih, belajar dari kegagalan tanpa berputus asa, didokong dan didorong oleh keluarga dan teman-teman, melihat kenalan seperjuangan sebagai penghibur lara dan tempat berkongsi. Kini Velleryn melangkah sebagai Unduk Ngadau, duta tradisi dan budaya Daerah Kecil Matunggong dan mengangkat komuniti Rungus ke persada Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal