PENAMPANG: 14 November 2025 – Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) mengambil pendekatan lebih sederhana dalam pengumuman calonnya bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah dengan tidak mengadakan himpunan khas, sebaliknya menyalurkan maklumat secara rasmi melalui kenyataan media.
Langkah berkenaan menzahirkan fokus parti terhadap penyampaian mesej yang lebih terarah serta penampilan imej politik yang profesional. UPKO turut mengesahkan penyertaan tidak kurang daripada 20 kerusi, menampilkan barisan calon yang dipilih berdasarkan latar belakang akademik, pengalaman dan rekod khidmat di kawasan masing-masing.
Pemilihan calon dibuat untuk memastikan setiap mereka mampu menawarkan kepimpinan yang seiring dengan prinsip perjuangan parti dan komitmen terhadap kebajikan rakyat. Selaras dengan agenda Sabah First, calon-calon berkenaan dijadualkan turun ke pelbagai kampung, kejiranan dan pekan bagi memperkenalkan visi UPKO secara langsung kepada masyarakat.
Senarai penuh calon dijangka diumumkan lewat petang ini melalui siaran media rasmi parti.

