“Untukmu Sabah Tanah Airku,” Tema Hari Sabah 2025

TAMBUNAN, 17 Ogos 2025 – Sambutan Hari Sabah 2025 semakin hampir, dengan tema “Untukmu Sabah Tanah Airku” dijangka memeriahkan Padang Bandaran Kota Kinabalu pada 31 Ogos ini.

Pelbagai acara telah dirancang, termasuk Pertandingan Bola Sepak, Konsert Hari Sabah, dan Larian Hari Sabah yang melibatkan seluruh daerah di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri I, Dr. Jeffrey G. Kitingan, dalam ucapan perasmian Dewan Serbaguna Kg. Pagalan Kusob, Tambunan, menekankan kepentingan memahami sejarah sebenar Hari Sabah, iaitu tarikh kemerdekaan Sabah daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1963, sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Beliau menyeru rakyat Sabah untuk memahami perbezaan antara Sejarah Sabah, Sejarah Persekutuan Tanah Melayu, dan Sejarah Penubuhan Malaysia, serta menghayati tarikh-tarikh penting tanah air.

Jeffrey turut mengingatkan bahawa Sabah telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963 seperti yang diluluskan oleh Majlis Perundangan North Borneo pada 8 Ogos 1963. Pada hari tersebut, lagu kebangsaan Sabah, “Sabah Tanah Airku,” dinyanyikan, bendera Sabah dikibarkan, dan bendera Union Jack diturunkan.

Beliau menyeru rakyat Sabah untuk mengibarkan Bendera Sabah dan Jalur Gemilang di setiap kediaman sebagai simbol kebanggaan dan patriotisme kepada Sabah dan Malaysia.

Jeffrey yang juga ADUN Tambunan, turut meluluskan tiga keperluan baharu di Kg. Pagalan Kusob, iaitu pembinaan tandas, pembinaan dapur untuk melengkapkan fasiliti dewan, dan pembinaan sebuah jambatan gantung untuk kegunaan komuniti setempat.

Pembinaan dewan serbaguna itu sendiri telah siap pada tahun 2022 dan menjadi satu-satunya dewan serbaguna di kawasan Lembah Pagalan.

Projek jalan raya Lembah Pagalan yang sedang dilaksanakan dengan kos RM49 juta dijangka siap pada tahun 2027, hasil perjuangan Dr. Jeffrey sebagai wakil rakyat Tambunan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal