UMS Sahkan Semua Program Berakreditasi MQA, Tolak Dakwaan ‘Kursus Lelong’

KOTA KINABALU: 02 Oktober 2025 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan semua program pengajian yang ditawarkan telah mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), sekali gus menolak dakwaan kewujudan ‘kursus lelong’ di institusi pengajian tinggi (IPT).

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, setiap kursus melalui proses penilaian ketat yang melibatkan aspek kebolehpasaran graduan, kajian pasaran, kelayakan pensyarah serta kesesuaian kurikulum dengan keperluan industri semasa.

Beliau menjelaskan bahawa proses akreditasi itu memastikan semua program UMS berkualiti tinggi, relevan dengan perkembangan semasa, dan mampu melahirkan graduan yang bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, kadar purata kebolehpasaran graduan UMS (Graduate Employability, GE) dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini adalah 95.46 peratus, dengan rekod tertinggi dicatatkan pada 2023 iaitu 98.5 peratus.

Pencapaian ini membuktikan graduan UMS diterima baik oleh majikan dan pasaran kerja, sekali gus menolak persepsi negatif mengenai kualiti kursus di universiti berkenaan.

UMS menegaskan komitmennya untuk terus menyediakan program berkualiti, melahirkan graduan kompetitif dan berdaya saing, serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara, seiring dengan penegasan Menteri Pendidikan Tinggi dan MQA.

Sumber: Sabah Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal