Umno Tawau nafi sabotaj calon GRS
Nilam Raon
TAWAU: Umno Tawau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ada ahli akar umbi parti itu melakukan sabotaj terhadap calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tawau, Lo Su Fui pada hari pengundian.
Ketuanya Ghazalie Ansing berkata, sokongan seratus peratus akan diberikan kepada calon bagi memastikan kemenangan GRS dan menjamin bahawa mereka tidak akan berpaling tadah dengan mengundi calon lain.
“Kerjasama antara BN dan GRS di Tawau ini amat utuh, baik, harmoni dan tidak pernah ada sebarang pergaduhan. Semuanya harmoni.
“Di mana sahaja program kempen dibuat GRS, kami hadir begitu juga sebaliknya. Kami bagi pihak Umno dan BN akan membantu memenangkan 100 peratus saudara Lo,” katanya di majlis pemimpin bersama rakyat di SJKC Kung Ming di sini yang dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan calon GRS.
Ghazali meminta pengundi di Tawau tidak lagi tersalah undi pemimpin yang tidak membawa pembangunan hingga menyebabkan kemunduran ekonomi.
“Berapa banyak sudah kedai lingkup di daerah ini, semuanya akibat salah undi pemimpin, kerana mahu mencuba sesuatu yang tidak pasti,” katanya lagi.
Hanya tinggal beberapa hari sebelum mengundi, Ghazali berkata jentera BN dan GRS kini mula melakukan semak semula data pengundi supaya tidak bertindih.
“Bermula semalam juga semua jentera parti BN dan GRS akan memastikan kita mengejar ‘pengundi putih’ agar tidak lagi tersalah pilih,” katanya lagi.
– Tv Sabah News
0 Comments