LONDON: 3 Oktober 2025 – Status keahlian Israel dalam pertandingan bola sepak antarabangsa, khususnya di pentas Eropah, adalah tanggungjawab UEFA untuk memutuskan dan bukannya FIFA, tegas Naib Presiden FIFA, Victor Montagliani.
Beliau menekankan bahawa walaupun Israel turut serta dalam pusingan kelayakan Piala Dunia yang berada di bawah kelolaan FIFA, sebarang keputusan berhubung penggantungan atau kelangsungan penyertaan negara itu dalam kejohanan Eropah terletak sepenuhnya di tangan UEFA.
Tegasnya dalam satu persidangan di London, tanggungjawab berkenaan adalah proses UEFA. Bagaimanapun akan FIFA menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh badan induk benua itu.
Isu ini timbul selepas desakan beberapa pihak yang mahu Israel digantung daripada pertandingan Eropah ekoran konflik berterusan di Gaza. UEFA sebelum ini dilaporkan merancang untuk mengadakan pengundian khas, namun ia ditangguhkan selepas perkembangan diplomatik terkini termasuk cadangan pelan damai oleh Amerika Syarikat.
Israel kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan I saingan kelayakan Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico. Badan hak asasi, Amnesty International, turut menghantar surat kepada FIFA dan UEFA menggesa Israel digantung.
Montagliani turut menegaskan bahawa FIFA tidak bercadang memindahkan sebarang perlawanan kelayakan atau kejohanan utama daripada lokasi asal. Katanya, pertimbangan politik tidak seharusnya menjejaskan prinsip keadilan dalam bola sepak antarabangsa.
Perbincangan mengenai status Israel dijangka terus menjadi perhatian menjelang mesyuarat Majlis FIFA di Zurich, meskipun isu itu belum tersenarai dalam agenda rasmi badan dunia tersebut.
Sumber: Reuters