Tawau: 2 September 2025 – Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin mengesahkan pihaknya sedang mengesan seorang wanita yang dipercayai mengeluarkan ucapan berbaur hasutan dalam satu himpunan di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, malam kelmarin.
Beliau berkata, polis menerima tiga laporan orang awam berhubung ucapan wanita terbabit yang dikatakan menyentuh kedudukan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Hasil siasatan awal mendapati individu berkenaan merupakan salah seorang peserta yang diberi peluang untuk berucap dalam Himpunan Solidarity Justice For Zara.
Ucapan yang dibuat dipercayai mengandungi elemen hasutan terhadap TYT dan menimbulkan keresahan orang ramai, sekali gus mendorong polis membuka kertas siasatan rasmi.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, selain turut melibatkan Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Setakat ini, Jasmin memaklumkan tiada tangkapan dilakukan, namun pihaknya sedang giat mengesan suspek yang sudah dikenal pasti dan memanggil beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.
Katanya, semua siasatan akan dilaksanakan dengan telus dan mengikut prosedur sewajarnya bagi memastikan keadilan terjamin kepada semua pihak yang terlibat.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam kerana tindakan tegas akan diambil.
Sumber: Harian Metro