KUALA LUMPUR: 3 Oktober 2025 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pelan damai 20 perkara yang dibentangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai ancaman terhadap rakyat Palestin dan bukannya penyelesaian sebenar konflik Gaza.
Menurut beliau, cadangan yang merangkumi gencatan senjata, pertukaran tebusan, pengunduran tentera Israel, pelucutan senjata Hamas serta pembentukan kerajaan peralihan diketuai badan antarabangsa itu hampir pasti ditolak oleh Hamas.
Katanya, penolakan itu akan mengakibatkan lebih banyak pertumpahan darah kerana Israel dijangka meningkatkan serangan dengan sokongan AS.
Pengorbanan puluhan ribu nyawa rakyat Palestin akan dianggap sia-sia sekiranya pelan itu dilaksanakan.
Dr Mahathir turut berpandangan, Trump tidak dilihat sebagai pendamai kerana kerap menggunakan tekanan ekonomi dan ancaman politik dalam menyelesaikan konflik antarabangsa.
Beliau merujuk kepada kegagalan AS menghentikan perang Rusia-Ukraine serta serangan berterusan Israel ke atas Gaza.
Syarat pelan yang memerlukan penerimaan dalam tempoh empat hari memperlihatkan ia lebih berupa ultimatum daripada usaha mencari jalan perdamaian.
Beliau menegaskan, cadangan itu mudah diterima Israel kerana dirangka bersama Netanyahu yang didakwanya berhasrat menguasai Gaza.
Langkah tersebut membawa mesej bahawa rakyat Palestin perlu menyerah kalah selepas kehilangan lebih 60,000 nyawa akibat pengeboman Israel.
Sumber: Utusan TV