LAHAD DATU: 28 September 2025 – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Lahad Datu menumpaskan kegiatan pengedaran dadah menerusi dua operasi berasingan pada Ahad, sekali gus menahan empat lelaki termasuk tiga warga asing.
Dalam operasi pertama kira-kira jam 1.00 petang di Kampung Sabah Baru, Jalan Lahad Datu – Tungku, tiga lelaki warga Filipina berusia antara 35 hingga 43 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri dari serbuan pasukan polis.
Pemeriksaan lanjut menemukan enam paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 53.95 gram, bersama penimbang digital kecil, pemetik api dan penyedut minuman yang telah diubah suai.
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,934.50.
Hasil ujian saringan awal air kencing turut mengesahkan ketiga-tiga suspek positif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dalam operasi kedua di kawasan Tungku pada hari sama, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan selepas didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut IPD Lahad Datu, kejayaan operasi itu membuktikan komitmen berterusan pihak polis dalam memerangi jenayah dadah di daerah tersebut.
Sumber: Polis Daerah Lahad Datu