KUALA LUMPUR: 16 January 2026 – Mahkamah menolak permohonan untuk menggugurkan tiga pertuduhan bersubahat terhadap Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, isteri kepada mantan Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, hari ini.
Sehubungan itu, kes terhadap Zizie Izette akan diteruskan dengan perbicaraan dijadualkan pada 5, 6 dan 12 Mac depan.
Kes berkenaan melibatkan dakwaan penerimaan wang suapan melalui beberapa transaksi yang dikaitkan dengan akaun atas nama Zizie Izette.
Sebelum itu, Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dari tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah RM2.8 juta.
Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka tidak berhasrat meneruskan prosiding susulan kematian tertuduh pada 5 Disember lalu.
Allahyarham Bung Moktar yang juga bekas Ahli Parlimen Kinabatangan dan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan kelulusan agensi itu untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Mahkamah turut mengarahkan wang jaminan berjumlah RM100,000 dan pasport milik Allahyarham dikembalikan kepada pihak berkaitan.
