PENAMPANG: 2 November 2025 — Tiga lelaki ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Op Mabuk yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Jalan Bundusan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata ketiga-tiga suspek ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu dengan kadar alkohol melebihi had dibenarkan.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000, serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

Dalam operasi berkenaan, polis turut mengeluarkan tujuh saman terhadap individu yang didapati tidak memiliki lesen memandu.
Operasi yang diketuai oleh Inspektor Rozami Hj Ahmad bersama enam anggota BSPT itu memeriksa 72 individu dan 60 kenderaan.
Menurut Sammy, operasi tersebut dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara serta meningkatkan kesedaran orang awam agar mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.
Sumber: Polis Daerah Penampang

