KINABATANGAN: 10 Januari 2026 – Penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag bermula hari ini di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan, dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi.
Dato Sri Ramlan Bin Dato Harun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiga calon bertanding bagi Parlimen Kinabatangan dan dua calon bagi DUN Lamag.
Bagi Parlimen Kinabatangan, calon-calon yang mengikut cabutan undi ialah Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Goldam H Salangah sebagai calon bebas dan Datuk Saddi bin Abdu Rahman daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN). Bagi DUN Lamag, pertandingan menyaksikan Miha mewakili BN dan Mazliwati Abdul Malek daripada WARISAN.
“Tempoh berkempen bermula sejurus pengisytiharan calon oleh Pegawai Pengurus dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 23 Januari 2026” katanya.
SPR menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya untuk memantau semua aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen, manakala 39 pemerhati dari sembilan organisasi turut memantau perjalanan PRK bagi memastikan ketelusan pilihan raya.
Semua bahan kempen tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan dan tidak dibenarkan mengandungi unsur perkauman, hasutan atau menyentuh sensitiviti agama.
SPR menyeru semua pihak menjalankan kempen dalam suasana harmoni serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Sumber: Kenyataan Media SPR
