PAPAR: 16 September 2025 – Tragedi tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul, Gana, Papar, meragut nyawa tiga beranak selepas rumah mereka ranap ditimpa runtuhan awal pagi semalam.
Mangsa terakhir, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Kemiey Asphereynda Benny, ditemukan pada jam 8.45 malam dan dikeluarkan sepenuhnya kira-kira jam 1.48 pagi tadi selepas hampir 18 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Sebelum itu, ibu mangsa, Wong Moi Ling, 34, dan adiknya, Christen Kell Benny, 6, ditemukan lebih awal pada jam 4.20 petang dan 4.25 petang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.20 pagi semalam sebelum sepasukan anggota bersama agensi lain bergegas ke lokasi.
Operasi mengeluarkan mangsa dijalankan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela.
Mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.05 pagi.
Sumber: Buletin TV3