KOTA KINABALU: 1 Ogos 2025 – Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina binti Mahathir menggesa siasatan terperinci dan inkuiri awam dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian tragis remaja berusia 13 tahun itu yang berlaku di asrama sekolah pada 17 Julai lalu.
Dalam kenyataan media bertarikh 1 Ogos, peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri menegaskan bahawa anak guam mereka, Puan Noraidah Lamat, ibu kepada Zara, percaya bahawa kematian anaknya bukan disebabkan bunuh diri, sebaliknya berkemungkinan besar melibatkan unsur jenayah.
Mereka turut menyatakan kekecewaan terhadap pihak polis yang didakwa lambat memberikan maklumat perkembangan siasatan serta gagal membuat kenyataan rasmi kepada media dalam tempoh kritikal 10 hari selepas insiden berlaku.
Menurut kenyataan itu, anak guam mereka juga telah memfailkan laporan polis tambahan di Balai Polis Sipitang selepas memperoleh rakaman perbualan telefon antara Zara dan ibunya, yang membayangkan Zara menjadi mangsa gangguan serta buli oleh pelajar senior. Antara individu yang disebut termasuk seorang pelajar senior digelar “Kak M”.
Peguam turut menyatakan keraguan terhadap dakwaan Zara terjatuh dari tingkat tiga kerana tiada kesan kecederaan konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi pada tubuh mangsa. Mereka juga memohon agar bedah siasat dijalankan dan kubur Zara digali semula untuk tujuan inkues.
Sehubungan itu, satu surat rasmi telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara di Kota Kinabalu memohon agar inkues diadakan di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk menentukan punca sebenar kematian Zara.
Dalam masa yang sama, mereka menafikan sekeras-kerasnya tuduhan liar bahawa kematian Zara berpunca dari ibunya, dan menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah kejam.
Akhir kenyataan itu menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu pihak berkuasa serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyuarakan sokongan dalam usaha menegakkan keadilan buat Zara.