‘Tiada kekecohan berlaku’
SANDAKAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Batu Sapi Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, insiden dalam video yang tular di media sosial mengenai sedikit kekecohan di kem Warisan, adalah permainan sentimen.
“Tidak ada kekecohan pun sebenarnya, hanya permainan sentimen yang dijadikan isu. Saya harap kita berkempen dan mendekati rakyat secara aman dan telus.
“Usah dibangkitkan unsur atau elemen sentimen yang sensitif dan mampu mengguris mana-mana pihak,” katanya.
Dalam video itu kelihatan seorang lelaki memasuki kem lawan sebelum diusir oleh penyokong Warisan.
Jelas Khairul Firdaus lagi, kematangan berpolitik adalah kunci kepada kematangan seseorang ahli politik berdepan dengan rakyat.
“Semoga proses kempen dan segala usaha berjalan lancar. Janganlah kita timbulkan perkara yang tidak sepatutnya dan mampu menjejaskan keharmonian serta kematangan kita,” ujar beliau.
Jelasnya lagi, hubungan baik bersama Datuk Seri Shafie Apdal juga terjalin sejak awal dan tidak bermusuh.
“Hubungan persahabatan ayah saya bersama Shafie sudah terjalin dan umpama keluarga.
“Tidak ada niat untuk bermusuh kerana sudah berkenalan lama,” katanya.
– Tv Sabah News
0 Comments