KOTA KINABALU: 9 April 2026 – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menyasarkan sekurang-kurangnya 100 syarikat Bumiputera di Sabah menerima manfaat Dana Penskalaan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BSSF), sekali gus mewujudkan 500 peluang pekerjaan baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Encik Junady Nawawi berkata, inisiatif itu bertujuan membantu syarikat tempatan berkembang ke skala lebih besar dan meningkatkan penciptaan nilai dalam ekonomi negeri.
Beliau berkata, masih terdapat empat kekangan utama yang membantutkan pertumbuhan syarikat Bumiputera di Sabah iaitu akses kepada modal, kekuatan model perniagaan, penyelarasan ekosistem dan capaian pasaran.
“Ramai usahawan mempunyai potensi, namun berdepan kesukaran untuk berkembang ke tahap seterusnya,” katanya ketika berucap pada program TERAJU Aspirasi Outreach 2026 di Sabah International Convention Centre, hari ini.
Menurutnya, keadaan itu mewujudkan fenomena ‘Missing Middle’, iaitu syarikat yang stabil tetapi sukar melonjak menjadi pemain industri berskala besar.
Sehubungan itu, TERAJU memperkenalkan BSSF sebagai pemacu strategik dengan pembiayaan fleksibel dan sokongan jaminan bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan.
Dalam masa sama, beliau berkata Sabah mempunyai potensi besar dalam Ekonomi Biru dengan unjuran hasil marin sebanyak 491,000 tan bernilai RM3.25 bilion setahun.
Katanya, usahawan Bumiputera perlu mengambil peluang dalam sektor itu termasuk perikanan moden, logistik maritim dan akuakultur bernilai tinggi.
Junady turut menggesa syarikat tempatan beralih dari persaingan ke kolaborasi termasuk melalui pembentukan konsortium dan penggabungan bagi menembusi pasaran lebih besar.
Selain itu, TERAJU menyasarkan antara lima hingga 10 syarikat dari Sabah mencapai status ‘scale-up’ dan bersedia untuk penyenaraian awam dalam tempoh lima tahun akan datang.
Program itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang memberi tumpuan kepada penciptaan nilai dan pembangunan ekonomi lebih inklusif di Sabah dan Sarawak.
