Tembakan Tragis Gegar Minneapolis, Dua Kanak-Kanak Maut di Sekolah Katolik

MINNEAPOLIS: 28 Ogos 2025 – Suasana tenang di sebuah sekolah Katolik di Minneapolis bertukar menjadi tragedi apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan semasa upacara misa persekolahan, mengorbankan dua kanak-kanak masing-masing berusia lapan dan 10 tahun serta mencederakan 17 yang lain.

Insiden berdarah yang berlaku di Annunciation Catholic School itu mencetuskan panik apabila suspek, dikenal pasti sebagai Robin M. Westman, 23, melepaskan tembakan dari luar gereja menggunakan pelbagai jenis senjata api, termasuk senapang rifle dan pistol. Westman, yang mempunyai kaitan dengan sekolah berkenaan, akhirnya ditemui mati selepas menembak diri sendiri.

Pihak berkuasa memaklumkan, majoriti mangsa cedera adalah pelajar sekolah rendah, manakala tiga orang warga emas yang hadir di gereja turut terkesan.

Kes ini kini disiasat sebagai keganasan domestik dan berpotensi diklasifikasikan sebagai jenayah kebencian terhadap komuniti Katolik selepas polis menemui manifesto serta rakaman video yang dimuat naik suspek di media sosial sebelum serangan.

Tragedi ini mencetuskan gelombang kemarahan dan kesedihan di seluruh Amerika Syarikat. Presiden serta Gabenor Minnesota, Tim Walz, mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan, manakala Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, menyeru agar tragedi ini menjadi titik perubahan terhadap isu keganasan senjata api yang semakin membimbangkan.

Sementara itu, komuniti Katolik tempatan mengadakan vigil doa dan menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan di rumah ibadat. Para pemimpin agama turut menekankan keperluan semangat perpaduan untuk menentang budaya kebencian yang semakin menular.

Kejadian ini menambah satu lagi episod kelam dalam siri panjang insiden tembakan di Amerika Syarikat, sekali gus menghidupkan semula perdebatan nasional mengenai kawalan senjata api serta keselamatan masyarakat.

Sumber: ABC News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal