TELUPID: 10 Oktober 2025 – Pasukan bola sepak wanita Telupid bertekad melakar kejutan dalam temasya Sukan Sabah (SAGA) XI Tawau 2025, dengan menetapkan sasaran mara ke pusingan separuh akhir sebagai tanda kebangkitan baharu skuad daerah itu.
Bermula 11 hingga 17 Oktober ini, saingan bola sepak wanita dijadual berlangsung di Tawau. Telupid diundi dalam Kumpulan A bersama Juara bertahan Tenom, Papar, dan Tongod. Perlawanan pembukaan bakal menyaksikan Telupid menentang Papar di Padang IPG Tawau pada 11 Oktober jam 4.00 petang.
Pasukan Telupid membariskan 20 pemain dengan dibimbing oleh jurulatih, Bromeo Denesius @ Ronggit, dibantu beberapa jurulatih lain, jurulatih Saaib, Paiman Sabitang, Sylvester Doini, Vira Rizuani Milan, dan Roger Dagok. Tugas pengurus pula digalas oleh Muhammad Nasrul Bini Omar dan Frezy Asmat.
Menurut pihak pengurusan, persiapan pasukan sedikit terbatas berikutan isu kewangan, kelewatan pelepasan pemain, serta kekangan kemudahan latihan. Namun semangat pemain kekal tinggi menjelang perjalanan ke Tawau pada 9 Oktober lepas.
“Walaupun berdepan kekangan bajet dan tajaan, kami tetap berusaha memberi saingan terbaik. Harapan kami agar prestasi kali ini lebih baik berbanding edisi lalu,” kata Bromeo.
Beliau menambah, penyertaan dalam SAGA XI bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi juga sebagai platform pembangunan bakat muda Telupid untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
Temasya SAGA XI Tawau 2025 dijangka menghimpunkan ribuan atlet dari seluruh Sabah dengan semangat kesukanan dan perpaduan menjadi nadi utama temasya sukan terbesar negeri itu.