KENINGAU : 18 Mac 2026 – Tapak pengumpulan balak dan kegiatan pembalakan haram di Sook terbongkar dan dilumpuhkan oleh Pasukan Am (PGA) Batalion 21 Keningau dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Perhutanan Sabah, kelmarin.
Pihak berkuasa berjaya merampas sejumlah besar kayu balak, kenderaan dan jentera dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah puluhan juta ringgit.
“Pemeriksaan mendapati kawasan itu dijadikan tempat pengumpulan kayu balak yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan,” menurut kenyataan pihak PGA.

Selain rampasan balak dalam jumlah besar, beberapa kenderaan dan jentera yang digunakan dalam aktiviti tersebut, turut disita.
Seorang lelaki tempatan juga ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
Serbuan dijalankan oleh Cawangan Risik dan Task Force PGA dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah Cawangan Sook selepas kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai lokasi mencurigakan.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk kayu balak tanpa nombor siri yang jelas dan ketiadaan tanda rasmi seperti Property Hammer Mark (PHM) dan cap Jabatan Perhutanan.
“Kes disiasat mengikut undang-undang berkaitan perhutanan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
PGA memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi mengekang kegiatan pembalakan haram dan memastikan sumber hutan terus terpelihara.
