Tongod, 8 April 2025 – Seorang wanita mengalami kecederaan dalam satu suasana panik akibat insiden membabitkan kayu balak yang terjatuh dari sebuah lori di Kampung Bangkulat, Tongod.
Kejadian berlaku pada 7 April 2025, sekitar jam 4.30 petang.
Mangsa, isteri kepada penduduk tempatan Lodi Bin Bingkok, mengalami kecederaan di kaki akibat terseliuh ketika cuba menyelamatkan diri selepas mendengar bunyi dentuman kuat dari arah luar rumah.
Tangga utama rumahnya runtuh akibat dihempap kayu balak yang jatuh dari lori di jalan utama berhampiran.
Menurut Lodi, rumahnya bersama tujuh buah rumah penduduk kampung yang lain terletak berdekatan dengan laluan utama kampung yang kerap digunakan oleh lori-lori milik syarikat pembalakan.
Beliau berkata laluan tersebut digunakan secara aktif sekurang-kurangnya tujuh kali sehari oleh lori-lori yang membawa muatan kayu balak.
“Hanya ada satu tangga sahaja untuk naik ke rumah ini. Selepas tangga tiba-tiba runtuh, isteri saya terkejut dan panik, cuba menyelamatkan diri tapi terseliuh dan mengalami kecederaan,” jelas beliau.
Susulan kejadian itu, pihak keluarga telah merancang untuk mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat pembalakan yang terlibat bagi membincangkan isu pampasan dan ganti rugi terhadap kerosakan dan kecederaan yang dialami.
Kejadian ini turut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk Kampung Bangkulat, khususnya berhubung aspek keselamatan dan risiko yang dihadapi akibat aktiviti pembalakan yang telah berlangsung di kawasan tersebut sejak tahun 1970-an.