TAMBUNAN: 23 September 2025 – Kerajaan merancang untuk membangunkan 4,000 ekar lagi kawasan padang ragut, menjadikan Tambunan berpotensi sebagai ladang kelapa terbesar di Sabah, bahkan melebihi Ladang PJ Nagus di Semporna.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Ladang Kelapa dan Perasmian Laman Nucifera di Hotel Nucifera, hari ini.
Inisiatif itu menandakan satu lagi kemajuan signifikan dalam sektor pertanian dan ekonomi daerah tersebut.

Acara dimulai dengan upacara pecah tanah penanaman kelapa jenis Tacunan di Padang Ragut Kampung Toboh, diikuti tinjauan ke kawasan padang ragut yang telah siap kerja peneresan.
Projek usahasama antara MKIC dan KOPPER ini, yang termeterai setahun yang lalu, melibatkan pembangunan ladang kelapa di lima padang ragut.
“Ini akan membuka peluang ekonomi, pekerjaan dan pendapatan untuk rakyat Tambunan. Ia juga membuka satu industri kelapa yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah, dan juga Malaysia,” katanya.
Jelas Jeffrey, ia juga akan membuka pelbagai peluang perniagaan yang berkaitan dengan pertanian seperti penternakan lembu dan binatang-binatang lain yang boleh diternak di bawah kelapa.
“Selain itu, ia juga membuka peluang dan menambah aktiviti ekonomi yang melibatkan pelbagai bidang termasuk logistik, eko pelancongan, pengeluaran makanan dan minuman, restoran dan sebagainya,” jelasnya.

Jeffrey dalam sidang media berkata kawasan tanah tinggi itu telah dipastikan sesuai untuk penanaman kelapa.
“Kita juga telah melihat penanaman kelapa ini mengambil kira alam sekitar yang perlu dijaga,” ujarnya.
Walaupun pembangunan ditangguhkan di kawasan Papar dan Tondulu atas dasar kelestarian alam sekitar setelah laporan EIA Jabatan Alam Sekitar mendapati kawasan tersebut berdekatan dengan kawasan tadahan air, projek kini giat dijalankan di tiga padang ragut lain mengikut piawaian JPS dan JTU.
“Penuaian kelapa dijangka bermula dalam tempoh 3-4 tahun, memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dengan sistem gaji berskala GLC,” katanya.
KOPPER akan berhubung dengan pemegang hak padang ragut yang terlibat dan meneruskan lawatan sambil belajar ke Ladang PJ Nagus sebagai persediaan fasa kedua.

Selain itu, MKIC telah menyewa dan mengubah suai bekas Hotel Rafflesia milik Majlis Daerah Tambunan menjadi Hotel Nucifera, yang berfungsi sebagai pejabat operasi MKIC dan dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan serta ekonomi Tambunan.
Dalam ucapannya, Dr. Jeffrey Kitingan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya MKIC & KOPPER, Pegawai Daerah Tambunan, Ketua-Ketua Jabatan (PPHT, JTU, JPS, Veterinar, Pertanian), Majlis Daerah Tambunan, Mahkamah Anak Negeri, Penduduk 5 kampung terlibat (Kuala Namadan, Toboh, Naudu, Papar, Tondulu), dan seterusnya mengisytiharkan majlis tersebut sebagai mercu tanda pembangunan pertanian dan ekonomi di Tambunan.
