Taekwondo Kota Kinabalu Rangkul Gelaran Juara Keseluruhan di Sabah Games 2025

TAWAU: 16 Oktober 2025 – Pasukan Taekwondo Kota Kinabalu muncul juara keseluruhan acara Taekwondo di Sabah Games 2025 selepas mempamerkan aksi konsisten dan bertenaga sepanjang kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Tawau dari 13 hingga 16 Oktober 2025.

Pasukan kendalian Ketua Jurulatih Timothy Felix Chin itu menutup tirai kejohanan dengan kutipan empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa, sekali gus mengatasi pasukan dari daerah lain.

Kejayaan gemilang itu turut diserikan dengan pengiktirafan kepada Sukie Alinskie, yang dinobatkan sebagai Most Valuable Player (MVP) kategori wanita hasil persembahan cemerlang dalam acara sparring kategori Fin.

Pasukan Kota Kinabalu bertolak ke Tawau pada 11 Oktober dan menghadiri Majlis Perasmian Sabah Games pada malam yang sama.

Sesi timbang berat rasmi dimulakan pada 12 Oktober bagi kategori Fin dan Fly, disusuli sesi pemulihan bersama pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, termasuk rawatan ice bath bagi memastikan tahap kecergasan atlet berada pada tahap optimum sebelum pertandingan bermula.

Hari pertama pertandingan (13 Oktober) menyaksikan Kota Kinabalu membuka kempen dengan kemenangan bergaya menerusi Sukie Alinskie yang menghadiahkan pingat emas pertama pasukan, manakala Kobe Cruz Orow menambah satu gangsa bagi kategori Fin.

Momentum kemenangan diteruskan pada hari kedua apabila dua lagi emas berjaya diraih menerusi Owlen Dioe (kategori Bantam) dan Muhammad Adzlan (kategori Feather).

Walaupun dua atlet wanita, Aviegail Alexi dan Eurica Voo Huga, terpaksa menarik diri akibat kecederaan, semangat juang mereka tetap mendapat pujian pasukan kejurulatihan.

Pada 15 Oktober, Beatrice James menyumbang satu pingat perak dalam kategori Welter, diikuti tambahan dua lagi pingat pada hari terakhir (16 Oktober) menerusi Evan Donovan (emas, kategori Heavy) dan Liam Barakat (gangsa, kategori Middle).

Keseluruhan pencapaian ini menobatkan Taekwondo Kota Kinabalu sebagai juara keseluruhan dengan kutipan empat emas, satu perak dan dua gangsa – satu pencapaian yang mencerminkan keutuhan pasukan dari segi strategi, disiplin dan kesungguhan.

Pengurus pasukan, Puan Effarizah, merakamkan penghargaan kepada semua jurulatih termasuk Johnny Tan, Mohd Azraai dan Nur Fathiha atas kepimpinan serta komitmen mereka sepanjang kejohanan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Grandmaster Barry Voon atas bimbingan dan sokongan berterusan terhadap pasukan.

Kejayaan ini disifatkan sebagai bukti ketekunan serta kerja berpasukan yang kukuh antara atlet dan barisan kejurulatihan. Ia juga menjadi pemangkin semangat untuk pasukan Kota Kinabalu terus cemerlang dalam kejohanan akan datang, sekali gus mengharumkan nama daerah dan negeri Sabah di pentas lebih tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal