Suspek kes rogol ditahan

Nilam Raon
SEMPORNA: Seorang lelaki warga tempatan ditahan dipercayai terbabit dalam kes rogol membabitkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, suspek berusia 40 tahun itu ditahan pada jam 2.30 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di daerah ini.
Menurutnya, pihaknya mendapat satu laporan kira-kira jam 12.09 pagi daripada ibu saudara mangsa mengatakan mangsa dibawa seorang lelaki ke lokasi tidak diketahui menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux ketika berada di Pekan Semporna pada Khamis jam 8.30 malam.
“Pada hari sama (Khamis) jam 9.30 malam, mangsa ditemui oleh rakannya dalam keadaan lemah di belakang sebuah pasar raya dan memaklumkan dirogol oleh suspek yang menghantarnya ke lokasi itu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Farhan berkata, mangsa sudah dihantar ke Hospital Semporna dan kemudian ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.
Suspek telah ditahan reman selama selama tujuh hari bermula semalam.
Polis memohon kerjasama orang awam atau saksi yang melihat kejadian agar tampil membantu siasatan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Insp Adham Ramli di talian 011-10145004 atau balai polis berdekatan. – TV Sabah News
0 Comments