Sumbangan RM150,000 kepada 150 gereja di DUN Kadamaian

Gambar 150 Terima Sumbangan Kasih

KOTA BELUD: 29 Mac 2026 – Sebanyak 150 gereja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menerima sumbangan Paskah berjumlah RM150,000 yang disalurkan menerusi peruntukan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian.

Setiap gereja menerima bantuan sebanyak RM1,000 bagi menyokong persiapan sambutan Paskah, sekali gus meringankan keperluan pengurusan dan aktiviti keagamaan di peringkat komuniti.

Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, dalam satu majlis ringkas di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, di sini, hari ini.

Inisiatif berkenaan merupakan program tahunan yang dilaksanakan dua kali setahun, iaitu sempena Paskah dan Krismas. Melaluinya, setiap gereja di Kadamaian menerima jumlah keseluruhan RM2,000 setahun sebagai sokongan berterusan kepada institusi rumah ibadat.

Selain bantuan bermusim, peruntukan tersebut melengkapi usaha pembangunan lain yang turut memberi perhatian kepada keperluan fizikal dan kebajikan rumah ibadat di kawasan berkenaan.

Majlis itu turut dihadiri Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton, serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian, Ukoh Jeremmy Malajad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal