KOTA BELUD: 24 Julai 2025 – Sepasang suami isteri berusia 47 tahun maut dalam satu kebakaran tragis apabila mereka ditemui rentung di dalam bilik mandi rumah mereka di Kampung Sangkir, awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2.52 pagi itu, rumah jenis kekal satu tingkat berkeluasan 30 x 30 kaki milik pasangan berkenaan hangus dijilat api, termasuk sebuah kereta Proton Saga yang diletak berhampiran.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan dan segera menghantar sepasukan anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba tiba pada jam 3.04 pagi dan mendapati kediaman mangsa telah terbakar sepenuhnya.
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan air dari jentera.
Walau bagaimanapun dua mangsa ditemui dalam Bilik mandi ketika usaha memadamkan kebakaran sedang dijalankan.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.22 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.55 pagi selepas kawasan disahkan selamat.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Turut berada di lokasi ialah Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elge Bakuk bersama pasukan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sumber: Sabah Dimensi