Status ART Malaysia-AS masih kabur

IMG 2123

Status Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) masih belum jelas, dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menarik balik kenyataan awal bahawa perjanjian itu “batal dan tidak sah” (null and void).

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sebelum ini dilaporkan mengesahkan bahawa ART tidak lagi terpakai susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada 20 Februari 2026 yang membatalkan tarif menyeluruh di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).

IMG 2127

Bagaimanapun, beliau kemudiannya menarik balik kenyataan tersebut dan menegaskan bahawa Malaysia masih menunggu notis rasmi bertulis dari Washington.

“AS pun tak ada tulis surat kepada kita (mengenai pembatalan rasmi ART). Kita jangan buat andaian,” katanya.

ART dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur Oktober tahun lalu melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS ketika itu, Donald Trump.

Perjanjian itu bagaimanapun belum lagi berkuat kuasa. Menurut kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Parlimen Februari lalu, ART hanya akan dikuatkuasakan selepas kedua-dua negara bertukar-tukar notis bertulis bagi mengesahkan proses ratifikasi dalaman masing-masing telah dilengkapkan.

Perkembangan terkini bermula apabila AS mengubah dasar tarifnya. Washington kini mengenakan kadar tarif rata 10 peratus ke atas semua negara tanpa mengira status perjanjian perdagangan.

Kadar ini lebih rendah berbanding 19 peratus yang ditetapkan di bawah ART. Pelaksanaan tarif baharu itu menggunakan Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 untuk tempoh 150 hari atau kira-kira lima bulan.

Dalam tempoh ini, Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) melancarkan siasatan di bawah Seksyen 301 terhadap amalan perdagangan 60 negara, termasuk Malaysia.

Antara perkara yang akan disiasat termasuk: Amalan lambungan produk (dumping) ke pasaran AS; Penggunaan buruh paksa, buruh haram atau buruh bawah umur; Pemberian subsidi kepada pengeksport; dan, Pematuhan standard alam sekitar.

Sekiranya ART terbatal secara rasmi, beberapa sektor utama berisiko terjejas termasuk elektrik dan elektronik (E&E), minyak dan gas, komoditi perladangan seperti minyak sawit, serta produk berasaskan getah seperti sarung tangan perubatan.

Di bawah ART, Malaysia dijadual menikmati tarif 19 peratus dengan 1,711 produk dikecualikan tarif, meliputi kira-kira 12 peratus daripada eksport Malaysia ke AS.

Eksport Malaysia ke AS bernilai kira-kira RM233 bilion pada tahun 2025.


Perikatan Nasional (PN) melalui Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menyeru supaya sidang Parlimen khas diadakan bagi membincangkan implikasi pembatalan ART.

PN mendesak kerajaan memberikan penjelasan segera dan komprehensif mengenai status sebenar perjanjian, implikasi ekonomi dan diplomatik, serta langkah-langkah melindungi kepentingan negara.

Sementara itu, Kerajaan Madani menegaskan akan mengambil pendirian profesional dengan tidak membuat sebarang keputusan tergesa-gesa dan menunggu notis rasmi daripada AS.

MITI sebelum ini menegaskan bahawa ART tidak mengikat Malaysia kepada komitmen komersial atau pelaburan paksa, sebaliknya menyediakan peluang eksport dan pelaburan melalui mekanisme saling menguntungkan tanpa mengorbankan autonomi dasar ekonomi negara.

Setakat ini, tiada respons rasmi dari pihak White House mengenai perkembangan ini. Malaysia kini dalam keadaan menunggu dan bersiap sedia untuk berunding dengan AS selepas tempoh siasatan 5 bulan tamat.

Apa-apa keputusan hanya akan dibuat selepas mendapat kepastian dan berbincang dengan pihak AS.

Sumber: The Vibes, Malay Mail, Sin Chew, TVBS, ebcnet, DLA Piper, amundsendavislaw, Jiji Press, BERNAMA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal