STAR Tegaskan Sabah Bukan Negeri Nombor 12, Tuntut Kedudukan Setara Dengan Sarawak dan Malaya

KOTA KINABALU: 7 Oktober 2025 — Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menegaskan bahawa Sabah perlu diiktiraf sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia, bukan sekadar negeri nombor 12 seperti sebelum ini.

Menurut beliau, sudah tiba masa rakyat Sabah memahami kedudukan sebenar negeri itu sebagai rakan kongsi setaraf dengan Sarawak dan Malaya sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita mahu hubungan setara antara Sabah, Sarawak dan Malaya. Bukan dibawa ke bawah, tetapi begini – sama tinggi, sama hormat. Ini bererti kita menghormati antara satu sama lain,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Jeffrey menegaskan, perjuangan STAR berteraskan semangat Sabah for Sabah dan Justice for Sabah, dengan matlamat mengembalikan hak serta kuasa mengurus sendiri negeri itu.

“Selama 62 tahun kita ketinggalan. Sekarang kita sudah masuk fasa kedua dalam pembinaan negara (nation building), dan tidak lama lagi akan ke fasa ketiga. Kita mahu Sabah diurus oleh anak Sabah sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata, hanya melalui pengiktirafan kedudukan setara dan kuasa autonomi yang jelas, barulah Sabah boleh memainkan peranan penting dalam mengukuhkan Malaysia secara keseluruhan.

“Bila kita dapat urus negeri kita sendiri dengan baik, barulah kita dapat membantu mengurus Malaysia dengan lebih baik,” tambahnya.

Jeffrey turut menyeru rakyat agar menyokong naratif perjuangan baharu STAR yang menuntut keadilan, kesetaraan, dan perpaduan politik tempatan sebagai asas memperkukuh autonomi Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal