KOTA KINABALU: 1 Oktober 2025 – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan pendirian untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17) dengan prinsip kesatuan selepas Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keputusan untuk bertanding menggunakan lambang parti masing-masing.
Keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Mesyuarat hampir dua jam itu turut membincangkan persiapan gerak kerja pilihan raya serta rundingan agihan kerusi bersama Pakatan Harapan (PH).
Dalam pertemuan tersebut, STAR dan SAPP menolak penggunaan lambang GRS kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi yang sedang dirundingkan bersama PH.
Tindakan itu sekali gus membuka kemungkinan kedua-dua parti berdepan pertandingan tiga penjuru di kawasan yang turut ditandingi calon PH.
Mesyuarat GRS kemudiannya memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih bertanding dengan lambang sendiri dianggap telah keluar daripada gabungan itu.
Dengan keputusan tersebut, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS berakhir serta-merta.
Walaupun menghormati keputusan itu, GRS yang kini dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS) menegaskan akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama PH.
Mesyuarat yang berlangsung dalam suasana mesra dan terbuka itu mencapai kesepakatan untuk mengekalkan kesatuan dalam GRS.
Gabungan itu juga berikrar meneruskan fokus kepada kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat Sabah menjelang PRN-17.
Sumber: Kenyataan Media Gabungan Rakyat Sabah(GRS)