STAR, SAPP Tidak Dijamin Menang Banyak Kerusi Jika Bertanding Solo PRN17- Penganalisis

KOTA KINABALU: Keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tidak memberi jaminan untuk memenangi banyak kerusi.

Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, berkata bertanding secara berpasukan lebih berkesan kerana rakyat turut menilai parti yang mampu membentuk kerajaan.

Beliau menegaskan alasan mencontohi Sarawak adalah tidak tepat kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga dibentuk melalui konsep gabungan parti tempatan, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Menurutnya, kejayaan GPS berpunca dari kerjasama berpasukan dan rasa saling menghormati antara parti komponen, bukannya hasil bertanding secara solo.

Kuok Tiung menjelaskan pengalaman beberapa edisi pilihan raya lalu menunjukkan parti yang bergerak solo di Sabah gagal meraih kemenangan, termasuk Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Katanya, tindakan STAR dan SAPP keluar dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berisiko menjadikan mereka sekadar pemecah undi kerana landskap politik di negeri ini sangat berpecah dan sokongan Kadazandusun Murut (KDM) tidak lagi monolitik.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengesahan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, bahawa STAR dan SAPP bertanding atas logo sendiri pada PRN17 sekali gus menamatkan keanggotaan mereka dalam GRS.

Susulan itu, enam parti kekal dalam GRS iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), PCS, LDP dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

Kuok Tiung mengakui ketiadaan STAR sedikit menjejaskan kekuatan GRS meraih sokongan pengundi KDM, namun langkah itu memberi kelebihan kepada STAR kerana parti berkenaan bebas memilih kerusi untuk ditandingi tanpa bergantung kepada agihan dalaman gabungan.

Beliau menambah keadaan itu mungkin memberi kebaikan kedua-dua pihak kerana GRS boleh mengagihkan lebih banyak kerusi kepada parti komponen yang kekal, manakala STAR dapat menentukan strategi sendiri.

Katanya, situasi tersebut turut memberi manfaat politik lebih besar kepada Pakatan Harapan (PH) dalam rundingan kerusi bersama GRS.

Pada masa ini, STAR menyandang enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), masing-masing tiga di Parlimen Keningau, dua di Pensiangan dan satu di Ranau, semuanya kawasan majoriti pengundi KDM.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal