STAR Perjuangkan Keadilan Untuk Sabah

KOTA KINABALU, 28 Ogos 2025 –

“STAR utamakan kepentingan perjuangan demi keadilan untuk Sabah,” tegas Presiden STARSABAH, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, selanjutnya menggariskan cabaran yang dihadapi dalam usaha menegakkan kedudukan Sabah.

Semasa Majlis Penyerahan Watikah STAR Parlimen P.172 pada 26 Ogos (Isnin) lalu, Jeffrey dalam ucapannya menyoroti realiti yang Sabah hadapi, harapan untuk masa depan yang lebih baik, keperluan kritikal pelaksanaan hak-hak Sabah sepenuhnya berasaskan perjanjian yang telah dimeterai.

Beliau turut berkongsi pengalaman menghadapi cabaran dan tekanan dalam perjuangan menegakkan keadilan untuk Sabah.

STARSABAH Parlimen P.172 Kota Kinabalu memulakan persiapan intensif menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) dengan majlis penyerahan watikah kepada ahli jawatankuasa baru.

Ketua Penyelaras STARSABAH Parlimen P.172 Kota Kinabalu, Mohd Raffee Mohd Shakir, menyifatkan watikah sebagai amanah berat untuk berkhidmat dan memperjuangkan aspirasi rakyat.

Beliau turut menekankan bahawa pelantikan ini adalah langkah penting dalam persiapan menghadapi PRN-17, dan menyeru para wakil yang dilantik untuk bekerja dengan tulus dan berintegriti.

Antara penerima watikah termasuklah Eliza Leong Kui Fui, Yong Ken Chau, Ting Shu Kiong, Leo Estrop, dan Samuel Lai, yang memegang pelbagai jawatan penting dalam bahagian masing-masing. STARSABAH P.172 Kota Kinabalu kini bertekad untuk bekerja keras demi kemenangan dan membawa perubahan positif bagi rakyat dan masa depan Sabah yang lebih makmur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal