SSA Fokus Pembinaan Atlet Muda Dalam Kejohanan Kebangsaan

Gambar Pasukan Menembak Sabah

KUALA LUMPUR: 29 Januari 2026 – Sabah Shooting Association (SSA) Kota Kinabalu membawa cabaran sembilan atlet muda ke Kejohanan Menembak Kebangsaan yang berlangsung di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan, Subang, dari 27 Januari hingga 1 Februari 2026, sebagai sebahagian usaha berterusan membina kekuatan sukan menembak negeri di peringkat kebangsaan.

Pasukan Sabah dibarisi lima atlet lelaki dan empat atlet wanita berusia antara 15 hingga 20 tahun, dengan gabungan atlet berpengalaman dan bakat baharu.

Pengurus Pasukan, Jeffrey Wong, menjelaskan bahawa penyertaan ini penting untuk memberi pendedahan sebenar kepada atlet muda dalam suasana pertandingan kompetitif.

“Daripada sembilan atlet yang kami bawa, empat pernah mewakili Sabah pada SUKMA Sarawak 2024, manakala lima lagi adalah bakat baharu yang mula aktif sejak hujung 2024 dan sepanjang 2025,” katanya.

image
Atlet menembak untuk kategori Senapang Angin (Air Rifle).

Menurut Wong, setakat ini kesemua atlet Sabah hanya pernah bersaing di peringkat kebangsaan dan belum menembusi kejohanan bertaraf lebih tinggi. Justeru, kejohanan ini dianggap medan penting untuk menilai tahap sebenar keupayaan mereka.

Pasukan berkenaan dikendalikan oleh Dg. Siti Nasirah selaku jurulatih tunggal, dengan sokongan Clarice Herman sebagai pengiring dan pegawai pentadbiran. Wong turut menambah pengurusan dan kejurulatihan pasukan dilaksanakan olehnya secara sepenuh masa.

“Ya, saya sebagai pengurus dan jurulatih terlibat sepenuh masa untuk membentuk pasukan menembak Sabah,” katanya.

Dalam kejohanan ini, pasukan Sabah menyertai beberapa acara Indoor Range dan Outdoor Range, termasuk Pistol Angin (Air Pistol) 10 meter dan Senapang Angin (Air Rifle) 10 meter bagi kategori individu, berkumpulan serta pasukan campuran, selain acara 50 meter prone bagi kategori lelaki dan wanita.

WhatsApp Image 2026 01 29 at 13.10.25
Atlet menembak untuk kategori Pistol Angin (Air Rifle).

Mengulas aspek persiapan, Wong menjelaskan tiada latihan khas dirangka khusus untuk kejohanan kali ini kerana atlet telah melalui latihan rutin yang menekankan simulasi persekitaran pertandingan sebenar.

“Setiap kali latihan rutin, atlet kami sudah dibiasakan dengan situasi yang mencabar ketahanan fizikal, mental, kemahuan dan fokus. Ini adalah sebahagian daripada endurance training,” jelasnya.

Latihan praktikal bersama senjata sukan hanya dijalankan di lapang sasar pada hari Selasa, Rabu dan Khamis pada waktu petang, serta hujung minggu dan cuti sekolah. Pada hari Jumaat pula, atlet menjalani latihan fizikal di Gim Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah di bawah kendalian jurulatih profesional.

“Walaupun begitu, atlet masih boleh berlatih secara simulasi di luar waktu rasmi, termasuk latihan fizikal menggunakan peralatan asas seperti botol air, kayu dan peralatan gim kecil,” tambah Wong.

Ketika ditanya mengenai kos perjalanan, beliau memaklumkan bahawa SSA akan mengemukakan keperluan peruntukan kepada MSN Sabah, sebelum menyelaras dokumentasi dan pergerakan pasukan selepas kelulusan diberikan.

“Secara praktikalnya, saya sendiri menggunakan wang tunai peribadi terlebih dahulu untuk menguruskan keseluruhan penyertaan. Perbelanjaan itu akan dibayar semula oleh SSA selepas peruntukan MSN Sabah disalurkan ke akaun persatuan,” katanya.

Menyentuh sasaran pasukan, Wong menegaskan fokus utama bukan sekadar kutipan pingat, sebaliknya kepada pelaksanaan proses menembak yang betul dengan disiplin tinggi.

“Dalam sukan menembak, tiada jalan pintas. Skor yang baik hanya boleh dicapai dengan proses menembak yang betul, koordinasi mental yang sihat dan lasak,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa atlet diharapkan mampu menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan sebenar, bersaing dengan atlet dari pelbagai negeri, serta membina ketahanan mental, fizikal dan semangat juang yang tinggi.

Walaupun berdepan cabaran menggunakan senjata sukan yang dipinjam, beberapa atlet dikenal pasti berpotensi memberikan keputusan memberangsangkan.

“Atlet seperti Dexter, Chenny, Hanson, Yusezzany dan Makayla dijangka mampu mengekalkan skor peribadi dalam acara Senapang Angin (Air Rifle), manakala Damya disasarkan untuk mengulangi pencapaian terbaiknya dengan catatan 561 mata dalam acara Pistol Angin (Air Pistol).” jelas Wong.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal