SPR, JPN mesti jawab isu jumlah pengundi meningkat.

TV Sabah News

SPR, JPN mesti jawab isu jumlah pengundi meningkat.

Datuk Seri Panglima Clarence Bongkos Malakun

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah mahukan jawapan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara berhubung dakwaan peningkatan jumlah pengundi di Sabah, kata Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Datuk Seri Panglima Clarence B Malakun.

Beliau berkata, isu itu penting kepada rakyat di negeri ini yang tidak lama lagi akan keluar mengundi dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada November ini.

“Ini adalah satu pendedahan dan dakwaan yang sangat membimbangkan. Kami menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang mahukan kebenaran. Mungkin, SPR dan JPN boleh menjelaskannya.

“Rakyat Sabah sudah lama mengesyaki bahawa orang bukan Sabah berjaya membuang undi setiap kali ada pilihan raya. Kami dengar mereka mendapat kad pengenalan (IC). Kami pernah dengar mengenai Projek IC yang memalukan. Dan sekarang ini lagi yang berlaku,” katanya.

Beliau mencadangkan kepada JPN untuk melakukan pengesahan bagi menentukan sama ada pengundi baharu itu memegang kad pengenalan yang dikeluarkan dengan betul dan sah.

“Sahkan sama ada mereka benar-benar rakyat Sabah yang tulen atau sebaliknya. Persoalan besar kekal ialah mengapa mereka tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi sebelum ini?” soalnya.

Malakun berharap SPR akan komited membersihkan Sabah daripada semua kemelut ini.

“Pemimpin kita semua bersatu membina Sabah yang lebih baik untuk rakyat Sabah.”

“Untuk melangkah ke masa depan yang lebih baik, kita mesti usir ‘syaitan’ yang sudah lama menghantui kita dan menjadi ibu kepada semua masalah ini di mana bukan warga Sabah membuang undi untuk menentukan kerajaan pilihan kita,” katanya.

Beberapa hari yang lalu, Parti Maju Sabah (SAPP) membuat pendedahan mengejutkan mengenai lonjakan jumlah pengundi di Sabah.

Daftar pemilih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan peningkatan 53.9 peratus pengundi baharu meningkat daripada 1,064, 686 pada 2008 kepada 1,638,806 tahun ini.

Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee mengesyaki peningkatan itu mungkin disebabkan oleh bilangan pengundi yang meragukan hasil daripada skandal Projek IC.

Yong dilaporkan mendakwa berdasarkan semakan awal daftar pilihan raya 2022, ramai pengundi baharu adalah mereka yang berumur 30 tahun ke atas dan yang berusia 60-an. Beliau curiga melihat ramai orang pertengahan umur berdaftar sebagai pengundi baru.

Parti Solidariti Tanahairku (STARSABAH) berkata, perkembangan terbaru di Keningau amat mengejutkan apabila ada peningkatan luar biasa bilangan pengundinya.

Presiden Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, sebanyak 70 peratus peningkatan jumlah pengundi di kawasan Parlimen Keningau dan melihatnya sebagai sangat luar biasa dan mencurigakan.

Katanya, jumlah pengundi di parlimen Keningau adalah 51,777 pada 2018 tetapi melonjak kepada 87,371 pada 2022 menjadikan peningkatan sebanyak 70.7 peratus.

“Tidak mungkin kita boleh mempunyai peningkatan lebih 30,000 dalam masa kurang daripada lima tahun. Ada yang tidak kena,” katanya.

-Tv Sabah News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal