SOOK Kini Daerah Penuh, Era Baru Pembangunan dan Kemajuan Bermula

Share the news

SOOK, SABAH – Sook secara rasmi telah diiktiraf sebagai sebuah daerah penuh, menandakan satu pencapaian bersejarah yang dijangka akan membuka jalan kepada lebih banyak peluang pembangunan dan kemajuan untuk penduduk setempat.

Majlis Pelancaran Naik Taraf Daerah Penuh Sook disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.

Hajiji berkata, cadangan untuk menaik taraf Sook telah dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Januari 2024 dan diluluskan secara prinsip sebelum diwartakan secara rasmi pada 7 Ogos 2024.

Dalam ucapan rasminya, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembangunan Dewan Terbuka dan kerja-kerja menaik taraf ususetia Pejabat Daerah Sook.

“Dengan penaiktarafan Pejabat Daerah Sook, kita boleh meningkatkan pengurusan, pentadbiran daerah dan juga perkara-perkara berkaitan terutama perancangan pembangunan dan ekonomi,” katanya kepada wartawan.

Terlebih dahulu, Menteri Belia dan Sukan yang juga ADUN Sook, Datuk Ellron Angin, menekankan bahawa pengiktirafan itu merupakan hasil usaha keras dan kerjasama erat antara pelbagai pihak, termasuk Kerajaan Negeri, Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Sabah, serta jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan.

“Proses penarafan ini telah melalui kajian dan perancangan yang teliti. Hari ini, kita meraikan kejayaan bersama yang pastinya membawa manfaat besar kepada masyarakat Daerah Sook,” katanya.

Datuk Ellron menjelaskan bahawa beberapa kriteria utama telah dipenuhi untuk melayakkan Sook dinaik taraf. Antaranya termasuk jumlah penduduk yang melebihi 30,000 orang, pola penempatan yang teratur, peningkatan beban kerja pentadbiran, kemudahan jaringan jalan raya, serta kewujudan prasarana sosial dan utiliti awam yang mencukupi.

“Jumlah penduduk di Daerah Sook kini telah mencecah 62,171 orang, melebihi syarat minimum yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa jaringan jalan raya sepanjang 519.17 kilometer membolehkan hampir seluruh kawasan Sook diakses dengan mudah, menyokong aktiviti ekonomi yang pesat berkembang.

Sektor pertanian kekal sebagai tunjang ekonomi daerah itu, dengan 69,609 hektar tanah diusahakan untuk pelbagai tanaman termasuk kelapa sawit, getah, padi, kopi, koko, dan buah-buahan.

“Dengan kerjasama semua pihak, saya percaya Daerah Sook akan terus berkembang menjadi daerah yang makmur, sejahtera dan menjadi model bagi daerah-daerah lain di negeri ini,” katanya.

Majlis penarafan ini menandakan lembaran baharu bagi Sook, seiring dengan slogan “Sook, Atulai Atangkas” yang membawa semangat untuk terus maju ke hadapan.

Pengiktirafan ini diharapkan akan memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup penduduk, dan meletakkan Sook sebagai sebuah daerah yang berdaya saing di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal