Solidariti Flotila Gaza Bukti Tanggungjawab Kemanusiaan Sejagat – Awar

Gambar Flotilla Sumud

KUALA LUMPUR: 29 September 2025 – Penyertaan aktivis antarabangsa termasuk dari Malaysia dalam misi flotila ke Gaza disifatkan sebagai manifestasi solidariti global menentang penindasan dan perjuangan menegakkan hak rakyat Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keberanian mereka yang terlibat melambangkan komitmen masyarakat dunia mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat di tengah kekejaman rejim Israel.

Menurutnya, genosid yang berlaku di Gaza bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia, malah menjejaskan keselamatan sosial global apabila hak rakyat Palestin terhadap keselamatan, maruah dan akses kepada perkhidmatan asas dinafikan.

Anwar menegaskan, sebarang perbincangan mengenai keselamatan sosial dunia tidak akan bermakna jika masyarakat antarabangsa terus berdiam diri terhadap penindasan sistematik dan kekejaman di Gaza.

Beliau menambah, pendirian Malaysia sentiasa konsisten dalam mengecam pendudukan Zionis serta penempatan kolonial di Palestin, sebagai bukti komitmen negara terhadap prinsip keadilan tanpa mengira sempadan.

Katanya lagi, wacana keselamatan sosial yang benar-benar berkesan perlu mengiktiraf realiti konflik tersebut, di samping membina visi baharu yang lebih relevan dengan cabaran semasa dan mampu menjawab tuntutan masa depan.

Ucapan itu disampaikan Anwar ketika merasmikan Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Sumber: Berita RTM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal