Tuesday, December 24, 2024

Skuad COMBI banteras penularan demam denggi

Zuraidah binti Asdain (baju hitam) bersama Dr Mohammad Qhairil Roderick Bin Rokei (4 dari kanan),Sukarni (baju merah) dan Puan Nurfa Izah (baju coklat) merakam gambar bersama.

Ryio Kenji

LAHAD DATU: Skuad COMBI di kawasan KRT Taman perumahan mampu membanteras penularan wabak pembunuh demam denggi, kata Timbalan Ketua Bahagian Umno Lahad Datu Zuraidah binti Asdain.

COMBI yang bermaksud Skuad Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku adalah sekumpulan orang yang menyedarkan penduduk sesebuah perumahan untuk sentiasa membersihkan persekitaran daripada daripada nyamuk aedes.

Zuraidah berkata, Taman Warisan Lahad Datu pernah menjadi antara lokaliti hotspot yang mencatatkan kes jangkitan denggi tertinggi pada awal tahun ini. Demam denggi jika tidak dibendung akan membawa maut kepada pesakit yang dijangkiti.

“Dengan adanya Skuad Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) di kawasan KRT Taman perumahan kita yakin ia mampu membenteras wabak pembawa maut itu di kawasan tersebut dan sekitarnya,” katanya pada Isnin.

Zuraidah yang juga Ahli Lembaga Pengarah, Kebudayaan Negeri Sabah berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Penubuhan dan Latihan Pasukan Sukarelawan COMBI Denggi KRT TAMAN Warisan Lahad Datu, di sini.

Beliau percaya jika skuad COMBI dapat digerakkan sudah tentu aspek penjagaan persekitaran kawasan berkenaan dapat dilakukan dan melahirkan komuniti yang sihat.

Sementara itu menurut Pegawai Perubatan Hospital Lahad Datu Dr Mohammad Qhairil Roderick Bin Rokei, penubuhan COMBI merupakan satu pendekatan dinamik untuk mengubah tingkah laku masyarakat dalam mengekang jangkitan denggi.

“Wabak Denggi merupakan penyakit endemik yang masih melanda dalam masyarakat Lahad Datu. Dengan adanya skuad COMBI bersama pembabitan masyakat setempat dan agensi-agensi lain, kita percaya kes denggi di daerah ini boleh dibendung,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Warisan Lahad Datu Sukarni Binti Endoh berkata, perlantikan skuad itu adalah satu kepercayaan diberi kepada KRT di kawasan perumahan untuk sama-sama membenteras wabak denggi.

“Saya berharap skuad yang ditubuhkan itu akan dapat menggalas tanggungjawab dan mencapai objektif sebenar penubuhan skuad COMBI di KRT Taman Warisan,” katanya.

Seramai 30 ahli skuad COMBI menerima watikah perlantikan yang disaksikan oleh Pegawai Perpaduan Daerah Lahad Datu, Nurfa Izah Binti Mohammad.

Turut hadir ialah Amiezal Afandi Dalinsi, Pegawai Penerangan (Pendidikan Kesihatan) Pejabat Kesihatan Lahad Datu.

Kit penjagaan COVID-19 turut diberikan secara percuma kepada hadirin sebagai usaha berterusan untuk mengekang jangkitan Covid-19.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights