SKA Telupid Sasar Kejayaan dalam Acara Karate SAGA XI Tawau

TAWAU: 12 Oktober 2025 – Pasukan karate Sekolah Karate Angkangon (SKA) Telupid kini beraksi dalam acara karate temasya Sukan Sabah (SAGA) XI Tawau 2025 yang berlangsung selama dua hari, 11 dan 12 Oktober.

Seramai 25 atlet dari Telupid mengambil bahagian di bawah bimbingan dua jurulatih berpengalaman, Andy Alexious M. Angkangon dan Junaina Semion. Pasukan ini turut diketuai oleh pengurus Javy Jimmy, manakala Adrian Angkangon bertugas sebagai wakil pengadil daerah.

Pasukan SKA Telupid menyertai 15 kategori keseluruhan, meliputi tiga acara kata dan 12 acara kumite, dengan sasaran membawa pulang tiga pingat emas, dua perak, dan satu gangsa. Menurut pengurus pasukan, persiapan atlet berjalan lancar walaupun berdepan cabaran seperti kekangan kewangan, perjalanan jauh dari Telupid ke Tawau serta isu logistik dan penyediaan makanan.

Beliau berkata, fokus utama kini adalah memastikan atlet kekal stabil dari segi mental dan emosi agar dapat menampilkan prestasi terbaik sepanjang kejohanan. Semangat dan disiplin tinggi para peserta menjadi tunjang kekuatan pasukan dalam menempuh saingan sengit di gelanggang.

Setakat hari kedua kejohanan, dua atlet Telupid telah mencatat keputusan membanggakan apabila masing-masing meraih pingat gangsa dalam kategori kumite. Mereka ialah Effansyah bin Abdullah bagi kategori lelaki bawah 55 kilogram dan Ellyzana Caren Midol bagi kategori wanita bawah 55 kilogram.

Pengurus pasukan berkata pencapaian awal itu menjadi pembakar semangat kepada keseluruhan kontinjen untuk terus bersaing merebut pingat dalam kategori yang masih berlangsung. Beliau turut berharap kejohanan ini dapat membuka ruang kepada pembangunan sukan karate di Telupid serta mendapat sokongan lebih baik daripada segi dana, insentif dan program latihan pada masa hadapan.

Pasukan SKA Telupid telah bertolak ke Tawau pada 9 Oktober dengan tekad membawa pulang kejayaan dan mengharumkan nama daerah Telupid di pentas SAGA XI.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal