KOTA KINABALU: 15 November 2025- Sabah menjadi tumpuan terakhir siri jelajah kempen pelancongan domestik, susulan penganjuran Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) edisi Sabah di Imago Mall baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, yang menekankan bahawa kejayaan program seperti SKCCM bergantung kepadat kerjasama erat antara kerajaan, agensi berkaitan, dan pemain industri.
Program tiga hari ini menutup siri kempen “Explore. Experience. Excite.”, yang bertujuan memupuk pelancongan domestik serta keusahawanan berasaskan warisan. Sabah dipilih sebagai lokasi terakhir kerana kepelbagaian produk pelancongan negeri ini yang semakin menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa.

SKCCM menghimpunkan 80 peserta termasuk ejen pelancongan, pengusaha inap desa, penggiat kraf tangan dan kumpulan kebudayaan, menawarkan pengalaman pelancongan yang unik kepada pengunjung.

Penyertaan rakan strategik seperti Firefly dan Malaysia Airlines pula membolehkan pengunjung menikmati pakej percutian dan tambang istimewa.
Majlis itu turut memperkenalkan kempen Fly Borneo Vol. 3: Surreal Experiences, yang menyediakan 26 pakej pilihan ke Sabah, Sarawak dan Labuan pada harga berpatutan.

Khairul berkata inisiatif ini bukan sahaja menyokong industri pelancongan domestik, malah memberi peluang rakyat menikmati pengalaman melancong berkualiti tanpa membebankan kos.
Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group, Chan Seng Fatt, menambah kejayaan SKCCM mencerminkan kekuatan kerjasama antara kerajaan, swasta dan komuniti pelancongan setempat.
