Sindiket Rokok Seludup Tumpas, Rokok Bernilai RM7 Juta Dirampas PPM Sabah

Share the news

Labuan, 7 Julai 2025 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok terbesar setakat ini menerusi satu operasi khas yang dijalankan di sebuah gudang di Kampung Batu Manikar, Labuan semalam. Operasi sekitar jam 9.30 pagi itu menemui gudang yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan rokok seludup pelbagai jenama dari negara jiran.

Hasil pemeriksaan ke atas premis dan beberapa kenderaan yang berada di lokasi membawa kepada rampasan sebanyak 5,320,400 batang rokok seludup dengan nilai keseluruhan anggaran RM7,017,000.00. Dalam operasi tersebut, lapan individu tempatan berumur antara 18 hingga 51 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohd Nazri bin Ibrahim, ia merupakan rampasan terbesar oleh PPM Sabah pada tahun ini, mencerminkan komitmen berterusan dalam memerangi jenayah penyeludupan, menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negara. Tambahnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara agensi dan maklumat awam.

Setakat pertengahan tahun 2025, PPM Wilayah 4 Sabah telah melaksanakan 139 operasi dan menahan 139 individu, dengan jumlah rampasan keseluruhan mencecah nilai RM52 juta, termasuk penyeludupan rokok, minuman keras, minyak masak subsidi dan diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

PPM Sabah akan terus memperketat kawalan sempadan, khususnya di kawasan perairan yang dikenalpasti sebagai lokasi “hot spot” seperti Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna, dan Tawau. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan penyeludupan diminta menyalurkannya terus ke Bilik Gerakan PPM Sabah melalui talian rasmi atau saluran media sosial agensi tersebut.

Kesemua rampasan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Sumber, Kenyataan Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal