Gambar ilustrasi
Oleh: Nurul Fazliana Norman
JOHOR BAHRU: 14 Ogos 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menumpaskan sindiket pembekal pekerja asing dalam Ops Serkap di tiga lokasi sekitar Johor Bahru, Selasa lalu, seramai 123 pekerja asing ditahan dan wang tunai berjumlah RM776,614 disita.
Operasi yang bermula jam 7.20 malam itu dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan selama kira-kira dua bulan oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Johor.
Dalam serbuan itu, dua lelaki warga Bangladesh dipercayai sebagai ‘dalang utama’ sindiket ditahan kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk membekalkan pekerja asing kepada kilang-kilang sekitar Johor Bahru.
Turut ditahan seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai berperanan sebagai ‘penyelia’.
Pasukan operasi turut menyita 450 slip gaji pekerja yang dikepilkan bersama sampul berisi wang tunai berjumlah RM776,614, selain dua komputer riba, sebuah pasport Nepal, dua mesin kira wang, buku cek bank dan sebuah Toyota Corolla Cross.
Pemeriksaan awal mendapati 123 pekerja asing berusia antara 20 hingga 49 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Kesemua tahanan direman selama 14 hari dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Haji Mohd Rusdi bin Mohd Darus berkata, JIM Johor akan terus menggempur sindiket dan ejen haram untuk membanteras kegiatan pengambilan dan penempatan pekerja asing secara haram di negeri itu.
Sumber: JIM Negeri Johor.

