KUALA LUMPUR: 6 Februari 2026 – Rangkaian jenayah terancang dikenali sebagai sindiket ‘Badul’ yang terbabit dalam penyelewengan kuota pekerja asing tumpas dalam Ops Serkap oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Desa Pandan, 4 Februari lalu.
Sembilan individu berusia antara 26 hingga 61 tahun, terdiri dari lapan lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia, yang dipercayai menjadi penggerak utama kegiatan sindiket Badul, kini dalam tahanan.
Sementara itu, dua warga tempatan yang bekerja dengan syarikat terbabit turut dipanggil memberi keterangan selepas Saman kepada Saksi dikeluarkan bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menyalahgunakan kelulusan kuota pekerja asing yang diluluskan untuk kegunaan syarikat sendiri dengan menjual serta memindahkan pekerja asing kepada pihak ketiga tanpa kebenaran pihak berkuasa. Setiap permohonan dipercayai dikenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM8,000, menjadikan pekerja asing sebagai sumber keuntungan berterusan.
Kegiatan ini dianggarkan menjana keuntungan hampir RM1 juta setahun, sekali gus mencerminkan operasi terancang dan sistematik yang aktif di beberapa lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia.
Penyalahgunaan tersebut bukan sahaja menindas pekerja asing, malah menjejaskan integriti sistem imigresen negara.
Modus operandi sindiket termasuk menyediakan surat cuti palsu sebagai helah sekiranya pekerja asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan, selain menawarkan khidmat menguruskan pembebasan individu yang ditangkap dengan bayaran tertentu.
Sindiket ini juga bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pembaharuan pas kerja dan visa tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Penggeledahan di premis berkenaan membawa kepada rampasan 22 pasport Indonesia, 20 pasport Bangladesh, lima pasport Pakistan dan satu pasport India. Turut disita ialah 497 keping i-Kad pekerja asing, 38 kad CIDB, wang tunai RM13,000 serta pelbagai dokumen dan peralatan yang dipercayai digunakan bagi memproses permohonan pekerja asing secara tidak sah.
Kesemua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
JIM menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi, menggaji atau bersubahat dengan warga asing tanpa dokumen sah, sambil menegaskan komitmen berterusan jabatan itu untuk memperhebat operasi penguatkuasaan demi memelihara keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara.
