KOTA KINABALU: 9 September 2025 – Polis Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan empat individu dan merampas 20.7 kilogram ketamin bernilai lebih RM1 juta dalam satu operasi khas baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan dilakukan hasil risikan bersama maklumat awam pada 4 September lalu di sebuah premis perniagaan di Taman Sri Kepayan.
Dalam operasi itu, polis menemukan dua karung hijau berisi 20 bungkusan plastik bertulisan Tie Guan Yin yang mengandungi ketamin dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM1.03 juta.
Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lagi suspek di kawasan Kepayan keesokan harinya, sebelum polis menahan sepasang suami isteri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah malam yang sama.
Mereka yang ditahan ialah seorang pengurus syarikat kurier berusia 36 tahun, seorang kerani operasi syarikat kurier berusia 58 tahun, pemilik syarikat kurier berusia 47 tahun, dan isterinya berusia 46 tahun yang tidak bekerja.
Polis percaya sindiket berkenaan menggunakan perkhidmatan kargo udara dari Semenanjung untuk menyeludup bekalan ke Sabah.
Selain dadah, pihak berkuasa turut menyita aset mewah yang dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah, termasuk lima kenderaan mewah, Lamborghini Aventador, Mercedes Benz, Toyota Alphard dan Chevrolet Colorado, selain dua unit televisyen 60 inci, tujuh unit pembesar suara, 10 beg tangan berjenama, komputer dan wang tunai. Jumlah keseluruhan sitaan serta rampasan dianggarkan bernilai RM4.21 juta.

Daripada empat suspek, seorang didapati positif dadah jenis Meth/AMP, manakala tiga lagi negatif.
Semakan rekod turut mendapati seorang daripada mereka mempunyai kesalahan jenayah lampau.
Jauteh menegaskan, rampasan itu mampu menampung hampir 160,000 penagihan sekali guna. Beliau menekankan bahawa Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah, sambil menyifatkan kejayaan ini hasil kerjasama masyarakat dengan pihak polis.
Sumber: Kenyataan Media