Sinar Cahaya bagi Rumah Kanak-Kanak Bondulu Toboh Tambunan

photo 2026 01 25 15 23 29

Pasukan pelajar tahun empat program teknologi elektrik Kolej Vokasional (KV) Keningau telah melaksanakan projek komuniti di Rumah Kanak-Kanak Bondulu Toboh, Tambunan, pada 24 Januari 2026 melalui aktiviti pendidikan berasaskan pengalaman serta kerja-kerja pemasangan lampu dan penyelenggaraan peralatan elektrik.

Pasukan ini juga turut memberi sumbangan bahan keperluan harian dimana bantuan adalah hasil derma syarikat dan individu di sekitar Keningau. Seramai 26 orang pelajar bersama beberapa guru daripada program tersebut terlibat dengan projek komuniti ini yang dinamakan “Volt Prihatin”.

photo 2026 01 25 15 23 41

Projek ini merupakan satu platform bagi para pelajar ini mempraktikkan subjek vokasional yang mereka pelajari di kolej tersebut. Ianya melibatkan beberapa aktiviti di mana para pelajar ini pada mulanya memberi bimbingan asas pemasangan dan penyelenggaraan lampu dan soket kepada kanak-kanak di rumah tersebut melalui pendekatan demonstrasi. Ianya disusuli dengan kerja-kerja penyelenggaraan soket dan peralatan elektrik serta pemasangan lampu di beberapa kawasan termasuk di halaman luar rumah.

photo 2026 01 25 15 23 53

Rombongan kolej ini diketuai oleh Ts. Haini Kotin, guru cemerlang teknologi elektrik, dan ianya turut dihadiri oleh timbalan pengarah akademik kolej itu, Amirul Ahuar Abdullah, yang turut menghulurkan sumbangan peribadi kepada rumah tersebut dan setiap kanak-kanak disitu. Sebelum projek ini dilaksanakan, ketua pelajar projek ini, Claijster Christian Sylvester, telah pun melawat tempat ini semasa cuti sekolah untuk membuat tinjauan awal berkenaan dengan kerja-kerja pembaikan. Sebarang bantuan ataupun lawatan projek komuniti untuk rumah ini boleh dirujuk kepada individu yang dipertanggungjawabkan iaitu Sister Stella Gilbert di nombor berikut 011-26272537.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, menyatakan penghargaannya kepada program ini atas usaha konsisten mereka membantu komuniti dengan menggunakan kemahiran yang mereka ada. Ini menunjukkan bagaimana pendidikan kolej vokasional mampu memperkasakan bukan sahaja para belia di negara ini dengan peluang kerjaya yang lebih luas malah ianya memberi impak yang positif kepada masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal