KOTA KINABALU: 1 September 2026 — Sabah International Convention Centre (SICC) meraikan Hari Sabah menerusi jamuan khas dan tamu komuniti yang menghimpunkan makanan tradisional, produk tempatan, budaya dan usahawan Sabah.
Bertemakan “Citarasa Tradisi, Meraikan Sabah”, sambutan itu diadakan untuk mengetengahkan kekayaan kulinari dan budaya Sabah, di samping menggalakkan masyarakat menyokong produk dan perniagaan tempatan.
Tamu Hari Sabah menampilkan pelbagai juadah tradisional, hasil pertanian segar dan kraftangan, selain menjadi platform kepada petani, nelayan, penggiat kraftangan dan usahawan tempatan mempromosikan produk mereka kepada pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Lasuki, berkata sambutan itu menghimpunkan makanan, budaya, komuniti dan usahawan tempatan dalam satu platform.
“Kami berbesar hati dapat meraikan Hari Sabah dengan menghimpunkan makanan, budaya, komuniti dan usahawan tempatan di bawah satu bumbung.
“Sambutan ini bukan sekadar peluang untuk menikmati hidangan yang enak, malah menjadi platform untuk kita menghargai kepelbagaian budaya dan cita rasa Sabah, meraikan identiti negeri dan menyokong para usahawan tempatan,” katanya.
Majlis Makan Tengah Hari Hari Sabah dan Tamu Hari Sabah berlangsung di SICC dari 10 pagi hingga 3 petang.
SICC turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik dan pembekal tempatan, termasuk Jetsin Sdn Bhd, SF Supplies, Vik Fresh Fruits & Vegetable Trading, ASN Trading, Yang Fung Food Industry Sdn Bhd, SR Events Sdn Bhd, Margaret Florist dan Likas Flora Sdn Bhd, atas sokongan dalam menjayakan sambutan Hari Sabah dan mempromosikan hasil bumi dan produk tempatan Sabah.

