KOTA KINABALU: 14 September 2025 – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah melaksanakan satu lagi siri pemindahan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal pada 11 September 2025, melibatkan seramai 576 warga Filipina.
Pemindahan berkenaan membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Papar dan Tawau, yang dihantar melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan kapal MV Antonia 1.
Daripada jumlah tersebut, 480 adalah lelaki dewasa, 24 wanita dewasa, serta 72 kanak-kanak berusia antara 7 bulan hingga 62 tahun. Kanak-kanak yang terlibat turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.
Dengan penghantaran terbaharu ini, seramai 6,215 warga Filipina telah dipindahkan ke negara asal sepanjang tahun ini selepas selesai menjalani hukuman dan memenuhi syarat dokumen perjalanan sah.
Selain itu, rekod Jabatan Imigresen Sabah turut menunjukkan 1,285 warga Indonesia, 181 warga Pakistan, 60 warga China, 24 warga Vietnam, 9 warga India, 3 warga Thailand, dan 13 warga asing lain turut dipulangkan sejak Januari lalu. Secara keseluruhan, jumlah PATI yang dihantar pulang dari Sabah mencecah 7,790 orang.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Binti Habib Yussof, menegaskan pihak majikan diingatkan agar tidak melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah. Tindakan tegas akan diambil termasuk hukuman denda sehingga RM50,000, penjara atau sebatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kerajaan Negeri Sabah kini turut melaksanakan program pendataan digital bagi mengurus dan merekod keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan, bagi mengekang isu dokumen palsu serta lambakan PATI.
Sumber: Kenyataan Media JIM