Saturday, October 26, 2024

SESB rugi RM16 juta akibat Bitcoin tahun ini

Abd Jalil (tengah) melihat peralatan sokongan operasi dan komputer yang diberikan kepada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah oleh SESB.

Nilam Raon

TAWAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kerugian RM16 juta dalam tempoh 11 bulan tahun ini akibat aktiviti perlombongan mata wang kripto seperti Bitcoin yang didakwa ‘mencuri’ elektrik.

Ketua Pegawai SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata, SESB dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan serbuan ke atas 54 premis yang dikenalpasti melakukan sambungan haram untuk aktiviti tersebut.

Menurutnya, seorang pesalah berjaya ditangkap di Tuaran dan pihaknya juga telah mengenalpasti banyak lokasi kegiatan itu dibuat di seluruh negeri. Tindakan lanjut kini sedang dalam proses untuk dilaksana.

“Saya minta kerjasama orang awam melaporkan kepada SESB kerana kegiatan ini bukan hanya kerugian SESB tapi juga semua pengguna dan pelanggan juga akan rugi.

“Ini kerana apabila ada sambungan haram, ia akan menyebabkan gangguan bekalan akibat arus melampau secara tidak langsung,” katanya di sidang media majlis penyerahan peralatan Sokongan Operasi SESB Kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini pada Rabu.

Turut hadir di majlis ituu adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman CP Dato Sri Abd Jalil Hassan.

Katanya, penyambungan elektrik haram oleh pelombong Bitcoin di Sabah ini bermula tahun 2018 dan ketika ini terdapat 11 pasukan penguatkuasa dari SESB yang ditugaskan untuk melakukan operasi dan menghapuskan kegiatan ini.

Di majlis itu SESB menyerahkan peralatan sokongan operasi dan komputer kepada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Sementara itu Abd Jalil berkata, PDRM sentiasa komited membantu SESB membanteras dan akan menggempur habis-habisan kegiatan pelombong Bitcoin yang mencuri elektrik.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights